Kerajaan Komited Tingkat Jumlah Perkhidmatan Secara Digital

UKAS  > Edisi-Utama >  Kerajaan Komited Tingkat Jumlah Perkhidmatan Secara Digital
0 Comments

RABU, 22 FEBRUARI 2023

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan menerusi Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Jabatan Perdana Menteri komited untuk meningkatkan jumlah perkhidmatan yang boleh ditawarkan secara digital.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, inisiatif tersebut bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan secara menyeluruh.

Ke arah itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Rajang memaklumkan bahawa Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) telah menyasarkan perkhidmatan kerajaan Persekutuan disediakan secara ‘end to end’ sebanyak 80 peratus menjelang tahun 2025.

“Sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam memoden dan menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan awam, MAMPU, Jabatan Perdana Menteri akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memudahkan urusan rakyat dari semasa ke semasa,”katanya ketika membahas titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada Isnin.

Menjelas lanjut, ujarnya perkhidmatan ‘end to end’ didefinisikan sebagai perkhidmatan yang dilaksana secara talian sepenuhnya dari mula hingga akhir atau proses yang boleh diakses pada bila-bila masa tanpa pengurusan secara bersemuka. – Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *