Penggunaan Resit Rasmi Permohonan Kewarganegaraan Untuk Kanak-Kanak Tanpa Kewarganegaraan Di Sarawak

UKAS  > Edisi-Tengah >  Penggunaan Resit Rasmi Permohonan Kewarganegaraan Untuk Kanak-Kanak Tanpa Kewarganegaraan Di Sarawak
0 Comments

RABU, 22 FEBRUARI 2023

DALAT: Kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di Sarawak yang memiliki resit rasmi bagi permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15(A), kini boleh memasuki persekolahan serta mendapatkan rawatan di klinik dan hospital di negeri ini.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato’ Sri Fatimah Abdullah, keputusan itu telah dipersetujui susulan kunjungan hormat beliau kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 17 Januari 2023 dan surat bertarikh 9 Februari 2023 telah dimajukan kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.

Membaca isi kandungan salinan surat tersebut, beliau berkata, mesyuarat telah bersetuju Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan surat pengesahan bahawa resit rasmi berkenaan boleh diguna Jabatan Pendaftaran Negeri Sarawak sebagai pengesahan  pengenalan diri kanak-kanak berkenaan untuk memasuki persekolahan dan mendapatkan rawatan di Sarawak.

“ Jadi dengan ini, bukan sahaja untuk di Dalat tapi untuk seluruh Sarawak, apabila kanak-kanak yang dari segi kewarganegaraannya belum ditentukan dan status kewarganegaraannya adalah bukan warganegara dan mereka telah memohon untuk supaya anak itu menjadi warganegara dibawah Perkara 15A, jadi bila sudah mengisi borang dan ada resit yang diberikan Jabatan Pendaftaran maka resit itu boleh digunakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak sebagai pengesahan pengenalan diri.

“Ini kerana dalam syarat-syarat yang dikenakan oleh Jabatan Pendidikan itu adalah perlu ada syarat dokumen pengenalan diri,”katanya.

Beliau berkata demikian pada dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian MEKAR Komuniti di Tebingan Sungai Dalat di sini pada Rabu.

Justeru, ujar Dato Sri Fatimah lagi, beliau berharap dengan surat pemakluman yang telah dimajukan kepada kementerian berkaitan itu, ia dapat membantu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di Sarawak mendapatkan kemudahan pendidikan dan kesihatan.

“Jadi janganlah tolak anak kita daripada sekolah lagi. Kita tak mahu anak kita tidak bersekolah sebab pendidikan itu adalah hak asasi seorang kanak-kanak. Jadi kita berharap semua maklum, jangan lagi minta pas pelajar kepada kanak-kanak tersebut.

“Begitu juga untuk mendapat rawatan kesihatan jadi resit itu sebagai pengenalan diri untuk mendapat rawatan kesihatan, dari segi bayaran itu masih tertakluk kepada dasar yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan ataupun Kementerian Kesihatan,”katanya.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *