Sarawak perlukan ramai modal insan

UKAS  > Edisi-Tengah >  Sarawak perlukan ramai modal insan
0 Comments

RABU, 22 FEBRUARI 2023

BETONG: Sarawak memerlukan ramai modal insan di masa hadapan untuk memacu negeri ini bergerak ke arah model ekonomi yang baru. 

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu berkata bidang baru seperti ekonomi digital, ekonomi hidrogen, ekonomi karbon dan sebagainya memerlukan banyak modal insan sebagai tenaga kerja untuk menggerakkan bidang-bidang ini. 

Justeru tegasnya, ibu bapa serta para pendidik perlu menyediakan anak-anak untuk merebut pelbagai peluang yang disediakan nanti.

“Kita harus sediakan anak-anak kita ke arah ini. Supaya mereka dapat mengambil peluang-peluang ini di masa hadapan. Supaya ianya dipelopori anak jati Sarawak. 

“Supaya Sarawak menjadi negeri yang maju dengan modal insan Sarawak sendiri. Kalau tidak, orang luar akan masuk, dan merebut peluang ini,” katanya berucap pada Majlis Graduasi & Anugerah Murid Cemerlang (AMC) SMK St Augustine Sesi Persekolahan 2022/2023 baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar berkata Kerajaan Sarawak juga sedang mewujudkan Dana Kekayaan Berdaulat yang akan memberi manfaat kepada pendidikan anak-anak Sarawak selain untuk keperluan ekonomi.

Tambah beliau, selain daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), kerajaan Sarawak juga menyediakan peluang kepada anak-anak tempatan untuk melanjutkan pengajian di IPT tempatan seperti Swinburne, Curtin, UTS, Centex, iCats dan banyak lagi. 

Terdahulu, Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu dalam ucapan aluannya berkata agenda pembangunan di Betong berkaitan dengan infrastruktur dan prasarana di sekolah-sekolah sedang diusahakan.

Jelasnya, beliau sedar dan ambil maklum bahawa masih banyak lagi sekolah rendah di Betong dalam keadaan uzur dan daif. 

“Maka, saya akan terus bekerjasama dengan ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Bukit Saban Datuk Amar Douglas Uggah, Mohd Razi di Saribas dan Layar Dato Gerald Rentap. 

“Saya akan terus bekerjasama, beri sokongan kepada mereka, supaya program-program pembangunan dan sebagainya yang telah dirancang dan akan dilaksanakan, akan terus berjalan dengan lancar demi kita menyelesaikan isu dan masalah rakyat. 

“Mohon semua kekalkan perpaduan. Beri kerjasama dan sokongan kepada kami demi kelangsungan dan kelancaran program-program kita di Parlimen Betong,” ujarnya. 

Dalam program sama beliau turut menyempurnakan penyampaian anugerah pelajar utama kepada 166 pelajar iaitu Anuegrah Pelajar Terbaik Keseluruhan (Akademik) STPM (Merrisa Hague Umping), Anugerah Kepimpinan Pelajar Tingkatan 6 2022 (Rachel Cherlyndrea Richard), Anugerah Kecemerlangan Akademik Aliran Perdana (Menengah Rendah) (Tiffany Kueh Wan Jing) (Tingkatan 2 Orkid) dan Anugerah Kecemerlangan Akademik Aliran Perdana Menengah Atas (Elvira Tan Jie Yu – Tingkatan 5 Iris).

Selain itu, Anugerah Kecemerlangan Sukan (Lelaki) Ronny Dunggau, Anugerah Kecemerlangan Sukan (Perempuan) Jesnita Chermie Ngadi, Anugerah Kecemerlangan Ko-Akademik (Lelaki) Mohamad Achis Abdullah dan Anugerah Kecemerlangan Ko-Akademik (Perempuan), Elvira Tan Jie Yu.

“Saya percaya dengan komitmen yang tinggi dan semangat pemuafakatan yang kuat dan sokongan daripada semua pihak, sekolah ini akan mampu merealisasikan impian menjadi sekolah yang terbilang di Daerah Betong dan di Sarawak. 

“Kepada pelajar yang diraikan, kejayaan anda hari ini adalah kejayaan bersama pelajar, guru, ibubapa dan komuniti sekolah. Kejayaan yang dituai adalah berkat kesungguhan, kesabaran, ketabahan dan doa anda semua,” ucapnya. 

Hadir sama Pengetua SMK St Augustine Betong, Ujai Sambau, Wakil Residen Bahagian Betong Florence Bulan Johnny dan YDP PIBG SMK St Augustine Betong Kaunselor Horace Entoi. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *