Pelbagai Usaha Dilaksana Kekalkan Tradisi Kaul

UKAS  > Edisi-Tengah >  Pelbagai Usaha Dilaksana Kekalkan Tradisi Kaul
0 Comments

ISNIN, 27 FEBRUARI 2023

MUKAH: Pelbagai usaha dilakukan untuk mengekalkan upacara Kaul, tradisi kaum Melanau agar ianya tidak tenggelam dalam arus pemodenan.

Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib berkata salah satu usaha yang dilaksanakan adalah mengekalkan kaul di peringkat kampung.

Menurutnya, usaha tersebut bertujuan memberi peluang kepada generasi muda untuk turut sama menyertai upacara yang penuh tradisi ini.

“Kita berharap dengan usaha yang dilakukan pelbagai pihak hari ini dapat dimanfaatkan oleh orang ramai supaya sejarah masyarakat kaum Melanau ini tidak dilupakan.

“Kaul juga menjadi salah satu tarikan pelancong dari serata dunia di mana pesta ini turut dijadikan platform bagi peniaga-peniaga kecil dalam memperkenalkan produk tempatan mereka.

“Upacara seperti ini tidak boleh dilihat sebagai satu upacara yang tidak penting dalam mengekalkan adat dan kebudayaan. Kita harus bersama-sama menjayakannya supaya ianya kekal dan menjadi satu tradisi tahunan agar semua masyarakat dapat menikmati serta memahami adat budaya kita.”

Beliau berkata demikian semasa menghadiri upacara Kaul Petanak di Kuala Petanak, Mukah pada Ahad.

Justeru, beliau berharap program dan tradisi sebegini dapat memberi manfaat dan faedah kepada semua komuniti kampung kerana Kaul telah dianggap sebagai medan penyatuan komuniti terbesar kaum Melanau dan merupakan keunikan acara ini.

Pesta Kaul Mukah akan diadakan dari 26 April hingga 1 Mei 2023 di mana ia merupakan salah satu dari kalendar pelancongan Sarawak.

Kaul Petanak merupakan aktiviti di peringkat kampung dan acara ini masih diamalkan di kampung-kampung di bahagian Mukah. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *