MYAirline Mula Laluan Penerbangan Kuala Lumpur-Miri

UKAS  > Edisi-Utara >  MYAirline Mula Laluan Penerbangan Kuala Lumpur-Miri

RABU, 1 MAC 2023

MIRI: Warga Miri kini mempunyai satu lagi pilihan untuk penerbangan ke Kuala Lumpur dengan adanya laluan penerbangan MYAirline antara kedua destinasi tersebut.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, perkhidmatan baharu itu akan memberikan impak positif bukan sahaja untuk sektor pelancongan malahan juga bagi penerbangan untuk tujuan perniagaan dan domestik.

“Kini, kita mempunyai tiga syarikat penerbangan yang menyediakan laluan dari Miri ke Kuala Lumpur. Ia akan memberi ketersambungan yang lebih baik untuk pengembara pelancongan, domestik dan perniagaan.  

“Dengan ini, saya berharap kita dapat mengatasi isu kekurangan penerbangan terutamanya untuk golongan pelajar yang ingin kembali untuk menyambut perayaan masing-masing,” katanya dalam satu sidang media di Lapangan Terbang Miri pada Rabu.

Terdahulu, Dato Sri Lee bersama Ahli Lembaga MYAirline Dato’ Sri Azharuddin Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline Rayner Teo dan Pengurus Besar Pemasaran dan Pembangunan Penerbangan Malaysia Airports Holdings Berhad Mohd Sallauddin Mohamed Shah telah menyertai penerbangan sulung MYAirline dari Kuala Lumpur ke Miri.

Ketibaan rombongan dalam Pesawat Z9 8301 ke Lapangan Terbang Miri sekitar jam 10.05 pagi itu telah disambut oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf serta dif-dif kehormat yang lain.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin memberitahu, peristiwa ini membuktikan keyakinan industri penerbangan terhadap tahap ekonomi Sarawak yang terus mengalami pertumbuhan.

Tambahnya, ini termasuk bahagian Miri yang juga memfokuskan kepada pembangunan industri minyak dan gas dengan syarikat-syarikat besar seperti PETROS, Petronas dan Shell mengembangkan perniagaan masing-masing di sini.

Miri menjadi destinasi ketiga penerbangan MYAirline dari Kuala Lumpur selepas Kuching dan Sibu.

Menurut Dato Sri Lee lagi, syarikat tersebut menetapkan kekerapan penerbangan sebanyak satu kali sehari bagi laluan antara Miri dan Kuala Lumpur manakala bilangan tersebut akan ditingkatkan ke dua kali sehari selepas 15 Mac depan. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *