Biro Wanita DUN Meluan Digalak Cebur Diri Dalam Bidang Kraf Tangan

UKAS  > Edisi-Tengah >  Biro Wanita DUN Meluan Digalak Cebur Diri Dalam Bidang Kraf Tangan
0 Comments

KHAMIS, 2 MAC 2023

SARIKEI: Biro Wanita Dewan Undangan Negeri (DUN) Meluan digalakkan menceburkan diri dalam bidang kraf tangan sebagai persediaan melibatkan diri dalam e-dagang setelah kawasan itu nanti dilengkapi dengan rangkaian telekomunikasi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin berkata, sebanyak 116 Biro Wanita di kawasannya apabila bakat mereka perlu diasah dan ditonjolkan kepada dunia luar.

“Saya percaya dengan wujudnya rangkaian telekomunikasi secara menyeluruh, kawasan Meluan tidak lagi tertinggal dalam agenda pembangunan ekonomi digital Sarawak.

“Malah, penduduk kampung dapat memasarkan produk pertanian mereka seperti lada, kelapa sawit, terung asam dan cangkuk manis kerana produk berkenaan yang banyak diusahakan di kawasan Meluan.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat mengenai rangkaian telekomunikasi bagi DUN Meluan, di pejabat Daerah Julau di sini, pada Khamis.

Tambah Rolland, sebanyak 245 buah Rumah Panjang di DUN Meluan akan menerima kemudahan rangkaian telekomunikasi yang kini giat dilaksanakan di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).

“Saya juga berharap supaya para pelajar sekolah tidak ketinggalan dalam mencari sebarang maklumat berbentuk pendidikan apabila dilengkapi dengan rangkaian telekomunikasi kelak.

“Kemudahan asas seperti ini amat penting dalam usaha kita melahirkan para pelajar yang berkualiti,” jelasnya.

Selesai taklimat berkenaan, Rolland mengambil kesempatan untuk meninjau sendiri tapak pembinaan menara SMART di bawah SDEC di Julau.

Dalam taklimat terbabit, Pengarah MCMC, Adiman Ajem memberitahu, sebanyak 17 menara baharu dengan rangkaian 4G akan dibina di kawasan Meluan yang dilengkapi dengan pihak pembekal perkhidmatan.

Manakala Pegawai Pengurusan Pemegang Taruh SDEC, Mohd Faiz Jafni berkata sebanyak 13 menara SMART (Telekomunikasi Luar Bandar SMA) bagi fasa kedua dijangka siap dibina pada suku keempat tahun ini di bawah SDEC.

Hadir sama Pegawai Daerah Julau, Wee Teck Min, Jurutera Wilayah Tengah Sarawak Multimedia Authority (SMA), Ts. Helestine Lium, Ahli Teknologi SMA, James Bungan serta ketua masyarakat dan ketua kaum DUN Meluan.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *