Jambatan Bintulu-Jepak 49.31 Peratus Siap

UKAS  > Edisi-Utama, Edisi-Utara >  Jambatan Bintulu-Jepak 49.31 Peratus Siap

AHAD, 5 MAC 2023

BINTULU: Pembinaan Jambatan Bintulu-Jepak kini mencapai kemajuan sebanyak 49.31 peratus.

Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, perbincangan telah dilakukan bersama pihak berkaitan dalam menentukan kaedah untuk memastikan projek bernilai lebih RM466 juta itu akan siap menjelang hujung bulan Oktober 2024.

Katanya, pihak kontraktor juga telah mengatasi sebahagian besar isu kekurangan tenaga kerja yang dihadapi dengan membawa masuk pekerja asing dari negara China.

“Saya melihat bahawa sekiranya semua perancangan dilaksanakan mengikut jadual dengan pihak kontraktor juga telah mengatasi isu tenaga kerja, dengan itu saya yakin projek ini dapat dijalankan dengan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa melakukan lawatan kerja ke tapak projek tersebut di sini pada Sabtu.

Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak menambah, musim tengkujuh yang melanda pada bulan-bulan sebelumnya turut menjejaskan kerja-kerja pembinaan.

“Selepas ini, keadaan cuaca dijangka bertambah baik. Jadi, kita minta pihak kontraktor meneruskan kerja-kerja pembinaan dengan lebih cepat sebelum musim hujan kembali lagi pada penghujung tahun,” tegasnya.

Hadir sama, Ketua Unit Jalan Pesisir dan Jalan Utama Kedua Jabatan Kerja Raya Sarawak Roland Ting Ka Swee, Penolong Jurutera Bahagian Bintulu Dayang Malinda dan Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Bintulu Mohd Amirul Valentine Laiseh. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *