Kementerian Sumber Manusia Sambut Baik Cadangan Ahli Parlimen Serian, Bina Pusat Rehabilitasi

UKAS  > Edisi-Utama >  Kementerian Sumber Manusia Sambut Baik Cadangan Ahli Parlimen Serian, Bina Pusat Rehabilitasi
0 Comments

KHAMIS, 9 MAC 2023

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia menyambut baik cadangan Ahli Parlimen Serian, Dato’ Sri Richard Riot Jaem berkenaan pembinaan Pusat Rehabilitasi bagi negeri Sabah dan Sarawak.

Menterinya, V. Sivakumar berkata, kementerian beliau menerusi PERKESO telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi menyedia dan memanjangkan program serta kemudahan rehabilitasi di Sarawak menerusi penyediaan kemudahan di Hospital Pengajar UNIMAS.

Menurutnya, inisiatif murni sedemikian memberi manfaat kepada masyarakat setempat terutamanya para pencarum PERKESO untuk mendapatkan rawatan rehabilitasi di kampus UNIMAS.

“MoU ini juga merintis kolaborasi dua hala dalam aspek penyelidikan dan pembelajaran.

“Selain itu, ia bertujuan bagi meningkatkan kemahiran serta pengetahuan anggota dalam bidang-bidang seperti perubatan, rehabilitasi, intervensi neurologi, kesihatan mental, kemahiran kesihatan bersekutu, robotik, latihan vokasional, keselamatan dan kesihatan, pengurusan hilang upaya, Program Return To Work (RTW) dan program perkhidmatan pekerjaan,”jelasnya.

Beliau berkata demikian sebagai jawapan untuk pertanyaan Dato’ Sri Richard Riot dalam persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.

Terdahulu Dato’ Sri Richard menyuarakan cadangannya untuk meneruskan rancangan kerajaan ketika tahun 2013 hingga 2018 lalu, untuk membina Pusat Rehabilitasi di Serian bagi negeri Sabah dan Sarawak.

Jelas V. Sivakumar lanjut, cadangan itu harus diperhalusi semula dengan teliti dan kajian terperinci perlu dilaksana dengan mengambil kira pelbagai faktor secara menyeluruh dari segi impak sosioekonomi, kemampanan dana organisasi, faktor geografi, keperluan semasa dan keutamaan kepentingan.

Tambah Ahli Parlimen Batu Gajah itu lagi, penubuhan sebuah pusat rehabilitasi perubatan dan vokasional yang lengkap dengan kemudahan teknologi rehabilitasi terkini juga memerlukan peruntukan pembangunan yang besar disebabkan peningkatan kos bahan binaan dan cabaran logistik global semasa.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *