JUMAAT, 10 MAC 2023

KUCHING: Koperasi Belia Inovatif Sarawak Berhad (KOBIS) mengadakan lawatan ke Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sarawak untuk membincangkan peluang bekerjasama dalam mempromosi agenda pembangunan dan keusahawanan belia di wilayah ini.

Pengerusi KOBIS, Zaiwin Kassim berkata, pihaknya telah berkongsi dengan SKM Sarawak mengenai bidang kerjasama yang berpotensi untuk diketangahkan termasuklah program ‘outreach’ belia, inisiatif koperasi, peluang perniagaan dan sokongan-sokongan lain. 

Jelasnya, pihaknya berpeluang membincangkan potensi kerjasama untuk menggalakkan pembangunan belia dan keusahawanan. 

“Kami percaya koperasi boleh memainkan peranan penting dalam menyokong golongan muda.

“Jadi, kami memohon sokongan dan bimbingan daripada SKM Sarawak sebagai sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap program latihan kemahiran dan berharap untuk membina kerjasama yang lebih kukuh lagi pada masa hadapan,” ujarnya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Sementara itu, Pengarah SKM Sarawak Norazlan, menyatakan sokongannya terhadap usaha KOBIS dalam mempromosikan pembangunan dan keusahawanan belia serta menekankan kepentingan koperasi dalam memperkasakan golongan muda.  

Tambah beliau, SKM Sarawak komited untuk bekerjasama dengan KOBIS dalam mewujudkan lebih banyak peluang untuk golongan muda di negeri ini. -Edisi UKAS.

add comment