Pelbagai Aktiviti Meriahkan Sambutan Hari Tanjong Manis

UKAS  > Edisi-Tengah >  Pelbagai Aktiviti Meriahkan Sambutan Hari Tanjong Manis
0 Comments

ISNIN, 13 MAC 2023

BELAWAI: Setelah dua tahun tidak dapat dianjurkan, sambutan Hari Tanjong Manis sempena Sambutan Jubli Emas ke 50 PUSAKA pada tahun ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kerjasama serta penglibatan warga sekitar Tanjong Manis bermula 10 hingga 12 Mac 2023.

Pengurus Besar PUSAKA, Datu Hashim Bojet semasa ditemui pemberita memaklumkan beliau amat gembira dengan sambutan yang luar biasa ini khususnya bagi warga Tanjong Manis, Rajang, Jerijih dan Belawai.

Katanya, kejayaan sambutan itu juga hasil dari aspirasi PUSAKA dan sokongan dari Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang Datuk Len Talif Salleh bersama Parlimen Tanjong Ir Yusuf Abdul Wahab untuk mejalankan aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat keseluruhannya di Tanjong Manis.

Ditanya tentang pelan jangka panjang Tanjung Manis beliau berkata, “Sejarah penubuhan Tanjung Manis hasil dari kajian Pelan Lembah Rajang (Rajang Development Plan) yang dimulai dengan Zon Pemprosesan Kayu memberi fokus kepada Pembangunan Industri Perkayuan.

“Tahun-tahun selepas itu, beberapa infrastruktur baru telah diwujudkan oleh kerajaan negeri dan pusat membuka peluang ekonomi baru di Tanjong Manis iaitu Industri Perikanan Laut Dalam dan industri berat berkaitan pembinaan serta penyelenggaraan kapal.”

Dalam Rancangan Malaysia ke 12, PUSAKA katanya menekankan industri perabot dengan membangunkan ‘Furniture Park’ di Tanjong Manis serta membuka satu lagi kawasan Industri perkapalan di Paloh yang melibatkan 1,000 ekar kawasan perindustrian.

“PUSAKA juga telah diberi mandat oleh Premier Sarawak untuk membangun serta membesarkan Lapangan Terbang Tanjong Manis bagi membolehkan pendaratan pesawat yang lebih besar,” dedahnya lagi.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan selama tiga hari program iaitu sukan rakyat, pertandingan memasak, karaoke, Larian Hari Tanjong Manis dan Pertandingan Memancing di Pantai Belawai.

Datu Hashim bersama Datuk Len dan Ir Yusuf kemudiannya menyempurnakan pelepasan peserta Larian Tanjong Manis kategori dewasa di Kampung Rajang manakala kategori kanak-kanak di Kampung Jerijih.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang juga turut di sempurnakan oleh Datuk Len bersama Ir Yusuf setelah semua acara selesai sekaligus sebagai penangguhan rasmi Sambutan Hari Tanjong Manis pada tahun ini.

Pada majlis sama, Datuk Len turut menyerahkan bantuan barangan sekolah kepada 300 orang pelajar di sekolah-sekolah Zon Tanjong Manis bagi Program Back To School N.41 Kuala Rajang.

Hadir sama Pemangku Pegawai Daerah Tanjung Manis Ismail Kasah, Ketua-ketua Masyarakat dan penduduk setempat. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *