Majlis Islam Sarawak Kembangkan Generasi Cinta Al-Quran

UKAS  > Edisi-Utara, Uncategorized >  Majlis Islam Sarawak Kembangkan Generasi Cinta Al-Quran
0 Comments

RABU, 15 MAC 2023

BINTULU: Majlis Islam Sarawak komited menjalankan pelbagai inisiatif dalam mengembangkan generasi cintakan Al-Quran.

Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha berkata, selain memberi penghargaan kepada mantan-mantan pemenang tilawah dan menghafaz Al-Quran, pihaknya juga dalam usaha menubuhkan Skim Guru Al-Quran dan kini masih dalam perancangan untuk menubuhkan Pusat Pengembangan Ilmu Al-Quran dan Al-Hadis.

Menurut beliau, inisiatif seumpamanya penting bagi melahirkan generasi qari dan qariah yang baru dan berpotensi untuk diketengahkan pada masa akan datang.

“Ini adalah antara usaha Majlis Islam Sarawak dengan sokongan kerajaan Sarawak dalam memartabatkan serta menerapkan pemahaman terhadap Al-Quran dalam kehidupan ummah agar sentiasa menjadi pegangan dan rujukan kita semua.

“Kita mengharapkan usaha ini akan sentiasa mendapat sokongan padu daripada kerajaan Sarawak,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Sarawak Kali Ke-62 yang dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Dewan Suarah Bintulu pada Rabu.

Majlis tilawah itu diadakan selama empat hari dari 15 hingga 18 Mac, bertemakan ‘Sarawakku Maju Makmur’ sempena sambutan 60 tahun Sarawak merdeka.

Bukan sekadar mendengar kemerduan qari dan qariah mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran, malah penganjurannya juga bertujuan menghayati intisari pengajaran dari Al-Quran yang dibaca supaya dapat dijadikan panduan hidup masyarakat.

Dalam majlis sama, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang menyempurnakan penyampaian penghargaan kepada mantan-mantan pemenang tilawah dan menghafaz Al-Quran yang telah mengharumkan nama negara khususnya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Para penerima masing-masing membawa pulang wang tunai serta sijil manakala pakej umrah diberikan kepada pemenang tempat pertama.

Antara qari yang menerima penghargaan ialah Dato’ Ismawi Duet dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM4000, sijil dan pakej umrah, Awgku Omar Asfuaddin Awg Hamdan membawa pulang wang tunai RM3000 serta sijil, Muhamad Izzat Mukhali menerima RM2000 serta sijil diikuti Mohamed Trang Isa juga menerima RM2000 serta sijil.

Bagi kategori qariah pula, Amnah Ayup menerima wang tunai RM5000, sijilserta pakej umrah, Roziah Ayub menerima RM2000 serta sijil dan Nurul Izzah Mukhali juga menerima RM2000 serta sijil.

Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Ustaz Khalidi Ibrahim dan Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *