BIGEXS 2023 Dijangka Beri Kesan Ekonomi RM4.4 Juta

UKAS  > Edisi-Selatan >  BIGEXS 2023 Dijangka Beri Kesan Ekonomi RM4.4 Juta
0 Comments

JUMAAT, 17 MAC 2023

KUCHING: Penganjuran Borneo International GARDEN Expo Sarawak (BIGEXS) 2023 dijangka mewujudkan kesan ekonomi sebanyak kira-kira RM 4.4 juta dalam tempoh tiga hari dengan kehadiran dianggarkan seramai 20,000 pengunjung. 

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dengan mempromosikan industri tumbuhan yang jarang ditemui dan potensi pelancongannya, Sarawak boleh mempelbagaikan industri pelancongannya dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi di rantau ini. 

“Kami melihat ekspo ini berpotensi menjadi acara tarikan pelancong baharu, sama seperti acara tempatan penting kita iaitu Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia.

“Dengan menjadi tuan rumah untuk ekspo ini, Sarawak boleh mendapat manfaat dari segi ekonomi daripada kesan pengunjung yang sama. 

“Acara ini dijangka memberi impak ekonomi yang besar, seperti penciptaan peluang pekerjaan baharu dan pembangunan tenaga kerja baharu dengan kemahiran khusus untuk segmen ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam BIGEXS 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Jumaat. 

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Jelasnya lagi, perkembangan ini akan memberi impak positif kepada masa depan subkategori sektor pertanian, termasuk industri perabot luar seperti pembuat rotan tempatan dan perabot yang diperbuat daripada pokok kayu belian. 

“Sumbangan acara ini adalah selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca-Covid Sarawak (PCDS) 2030, yang bertujuan untuk membangunkan dan meningkatkan enam sektor ekonomi, termasuk sektor pelancongan, pertanian dan perhutanan. 

“Pelan PCDS mengutamakan Kelestarian Alam Sekitar sebagai salah satu daripada tujuh teras strategik utamanya,” ujarnya. 

Justeru beliau berharap masyarakat tempatan akan menunjukkan minat yang mendalam dan bersemangat terhadap Ekspo Taman yang sedang berlangsung ini. 

Turut hadir isteri Premier Sarawak, Puan Sri Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui hian serta isteri Datin Sri Enn Ong Siok Ean, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *