Kemudahan Sukan Dimantapkan Untuk Hadapi SUKMA 2024

UKAS  > Edisi-Utama >  Kemudahan Sukan Dimantapkan Untuk Hadapi SUKMA 2024
0 Comments

JUMAAT, 17 MAC 2023

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memastikan kemudahan sukan dimantapkan sebagai persediaan menjadi tuan rumah bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun depan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perbincangan akan dilakukan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama dengan pihak berkaitan mengenai kemudahan-kemudahan yang lain.

“Sudah tentu Dato Sri Abdul Karim sebagai menteri akan menyediakan apa juga persediaan untuk kita menjadi tuan rumah SUKMA 2024 dan kita mempunyai kemudahan.

“Beliau akan berbincang mengenai dengan kemudahan lain khususnya velodrome, ia hendaklah kita buat dengan secepat mungkin dan kemudahan lain yang kita ada akan dinaiktaraf,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan majlis perasmian  ‘Borneo International Garden Expo’ (BIGEXS) 2030 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Jumaat.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari mendedahkan pembinaan kemudahan velodrome bagi acara berbasikal trek berkemungkinan besar akan dilakukan di Kuching berhampiran Kompleks Stadium Sarawak.

Dalam pada itu, beliau menambah, Kerajaan Sarawak merancang untuk menempatkan pertandingan SUKMA itu nanti di beberapa tempat yang lain yang sudah memiliki kemudahan sukan seperti sukan tinju di Sri Aman, sukan badminton di Sibu dan Miri dan sebagainya.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *