Syarikat Penerbangan Digesa Tawar Tambang Berpatutan Semasa Cuti

UKAS  > Edisi-Selatan >  Syarikat Penerbangan Digesa Tawar Tambang Berpatutan Semasa Cuti
0 Comments

JUMAAT, 17 MAC 2023

KUCHING: Syarikat penerbangan digesa menawarkan harga tambang yang berpatutan semasa cuti sekolah dan musim perayaan yang bakal tiba.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kementeriannya akan mengadakan pertemuan dengan semua syarikat penerbangan bagi membincangkan perkara itu dalam masa terdekat.

“Kementerian Pengangkutan Sarawak meminta syarikat penerbangan memainkan peranan penting mereka kepada rakyat dan kerajaan dengan menawarkan lebih banyak kekerapan penerbangan ke dalam dan dalam Sarawak.

“Ini bagi memastikan terdapat tempat duduk yang mencukupi dan mengekalkan tambang penerbangan yang berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat. 

Tambah kenyataan itu, Dato Sri Lee Kim Shin telah berhubung dengan Pengerusi MAVCOM mengenai perkara tersebut atas sebab aduan yang dilaporkan dalam akhbar tempatan baru-baru ini mengenai tambang penerbangan yang tinggi dari Miri ke Kuching. 

“Menurut MAVCOM, MASwings tidak menggunakan mekanisme harga dinamik. Harga ditetapkan pada siling tertentu kerana kewajipan perkhidmatan awam, kerana tambang itu disubsidi oleh kerajaan Persekutuan,” katanya. 

Mengenai insiden pesawat penerbangan terus MYAirline antara Miri dan Kuala Lumpur yang mengalami masalah teknikal pada 14 Mac lepas, pihak MYAirlines telah mengeluarkan kenyataan rasmi untuk perkara itu. 

“Syarikat penerbangan itu telah menyediakan makanan kepada semua penumpang dan telah mengatur pesawat bagi menempatkan seramai 77 penumpang. 

“30 penumpang telah dipindahkan melalui Malaysia Airlines ke Kuala Lumpur dan 3 penumpang disediakan penginapan hotel di Miri dan mengambil penerbangan keesokan harinya,” katanya.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *