SABTU, 18 MAC 2023

KUCHING: Kerajaan Sarawak bersetuju memperuntukkan sejumlah RM2.5 juta bagi tujuan meneruskan Geran Modal Pemerkasaan Wanita.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sumbangan itu bakal memberi manfaat kepada seramai 2,500 orang wanita yang layak.

“Ini adalah sebagai usaha memperkasa penyertaan wanita terutamanya ibu tunggal dan ketua isi rumah B40 dalam bidang ekonomi dan menjana pendapatan sendiri.

“Menyedari bahawa memperkasakan wanita bukan sahaja melibatkan latihan menjana pendapatan bahkan juga perlu ada geran modal keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Wanita Sarawak 2023 di Pusat Konvensyen Penview (PCC) Demak Laut di sini pada Sabtu. 

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg. 

Premier Sarawak dalam ucapan perasmian telah bersetuju memperuntukkan RM2.5 juta bagi tujuan tersebut pada tahun ini.

Jelas Dato Sri Fatimah lagi, ini akan menyumbang kepada peningkatan bilangan usahawan wanita Sarawak daripada yang dilatih oleh Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) seramai 24,580 orang, Usahawan Wellbest Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) seramai 4,748 orang dan e-Life MPS yang akan bermula tahun ini.

“Usahawan ini akan membentuk rangkaian rantaian bekalan yang diperlukan untuk Pusat Pengumpulan Setempat (OSCC) kami. 

“OSCC yang pertama di Sarawak adalah pusat sehenti bagi intergrasi pengumpulan, pembungkusan, penggredan, promosi digital, jualan, inkubator keusahawanan, bantuan teknikal, pengawasan serta konsultasi.  

“Ini adalah usaha Kerajaan Sarawak bukan sahaja untuk membasmi kemiskinan bahkan mengangkat darjat usahawan wanita B40 kepada peringkat global,” ujarnya. 

Turut hadir isteri Premier Sarawak Puan Sri Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui hian serta isteri Datin Sri Enn Ong Siok Ean, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia Dato Sri Nancy Shukri, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Mohamad Razi Sitam dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancang Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel.-EDISI UKAS 

add comment