Lebih RM100 Juta Untuk Pembangunan Engkramut & Selepong

UKAS  > Edisi-Selatan >  Lebih RM100 Juta Untuk Pembangunan Engkramut & Selepong
0 Comments

SABTU, 18 MAC 2023

SRI AMAN: Kawasan Engkramut dan Selepong di Sri Aman akan mengalami perubahan landskap pembangunan dengan perbelanjaan lebih RM100 juta telah diperuntukkan Kerajaan Sarawak.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, setakat ini bentuk pembangunan yang akan dilaksanakan masih dalam perancangan.

“Kerajaan Sarawak telah memperuntukan lebih RM100 juta bagi tujuan pembangunan di kawasan Engkramut dan Selepong di sini.

“Jadi saya berharap penduduk di kawasan ini agar memberikan kerjasama untuk memastikan semua perancangan kerajaan ini dapat dilaksanakan dengan baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa program UKAS @ Komuniti (Begulai, Sejalai, Sepenemu) yang diadakan di Rumah Faizal Edmund Minit, Engkramut di Sri Aman, pada Sabtu.

Hadir sama Pegawai Tadbir Khas, Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), Datu Indit Bangai dan Pegawai Tadbir Khas UKAS Datu Takun Sunggah, Tuai Rumah Faizal serta yang lain.

Pada majlis tersebut, Datuk Mong turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi projek penyambungan elektrik ke tujuh buah rumah di Rumah Faizal yang akan dilaksanakan pada tahun ini.

Beliau juga menyampaikan sijil lantikan penghulu dan sjil lantikan lanjutan Tuai Rumah bagi kawasan Dau.

Peruntukan sebanyak RM15,000 turut diberikan kepada JKKK Rumah Faizal.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menyeru agar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memberi sokongan dan kerjasama kepada Tuai Rumah bagi tujuan pembangunan di rumah panjang.

“Kita menyeru JKKK dan juga penduduk rumah panjang agar memberikan kerjasama kepada Tuai Rumah untuk memastikan pembangunan di rumah panjang sendiri.

“Penduduk tidak boleh menyerahkan segalanya kepada Tuai Rumah untuk membawa pembangunan,” tambahnya.

Sementara itu, Datu Takun ketika membaca teks ucapan Pengarah UKAS, Samuel Simon berkata, program UKAS @ Komuniti (Begulai, Sejalai, Sepenemu) dianjurkan untuk mendekati masyarakat akar umbi.

Ujarnya, program yang dianjurkan di bawah strategi jangkauan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) turut mempromosikan fungsi dan peranan UKAS kepada komuniti.

“Kita amat berharap program ini dapat meningkatkan rasa muhibah, harmoni dan kesepakatan dalam komuniti selaras dengan tema ‘Begulai, Sejalai, Sepenemu’.

“Malah selaras dengan ‘tagline’ UKAS, ‘menyebar fakta’, maka pada program ini kita juga fokuskan kepada kaunter dan pameran dari UKAS.

“Melalui konsep program UKAS @ Community adalah menjadi harapan UKAS agar lebih dapat menjangkau pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, umur dan taraf ekonomi,” ujarnya.

Beliau juga menambah, program UKAS @ Komuniti (Begulai, Sejalai, Sepenemu) akan diadakan di beberapa bahagian di sekitar Sarawak dengan mensasarkan kepada komuniti Melayu, Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan Cina.

Dalam pada itu, beliau berkata, program tersebut juga mendapat kerjasama daripada agensi kerajaan lain yang turut membuka kaunter perkhidmatan yang relevan dengan komuniti setempat.

“Program ini adalah yang pertama kita anjurkan untuk tahun 2023.

“Penganjuran program ini juga tidak akan berjaya tanpa adanya sokongan dan penglibatan pelbagai pihak setempat khususnya di Bahagian Sri Aman,” tambah beliau.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *