Tubuh Lebih Banyak Tempat Transit Gelandangan

UKAS  > Edisi-Tengah >  Tubuh Lebih Banyak Tempat Transit Gelandangan
0 Comments

SABTU, 18 MAC 2023

SIBU: Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berharap lebih banyak Tempat Transit Gelandangan (TTG) ditubuhkan di negeri ini.

Katanya, badan bukan kerajaan (NGO) juga diajak untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam menubuhkan pusat seumpama itu untuk membantu gelandangan.

“Saya berharap untuk melihat lebih banyak pusat ini ditubuhkan. Pusat ini bukan sahaja ditubuhkan oleh kerajaan, tetapi ia juga merupakan kerjasama dengan NGO,” ujarnya ketika ditemui media semasa mengadakan lawatan Ziarah Kasih Sokongan ke TTG Sibu pada Sabtu.

Menurut beliau, ia adalah sebahagian daripada usaha memberi sumbangan dan membincangkan bagaimana NGO dapat menambah baik tempat dan sistem di TTG tersebut.

“Ini adalah sebahagian daripada inisiatif sukarelawan kami kepada orang ramai. Saya menggalakkan penjawat awam, selain daripada bekerja, mereka turut melakukan sesuatu untuk orang ramai. 

“Ini sebahagian daripada CSR (tanggungjawab sosial korporat) kami,” katanya ketika ditemui media semasa lawatan tersebut.

Beliau turut memuji para NGO, sukarelawan dan pekerja dalam menjalankan pengoperasian TTG dan atas jasa besar mereka kepada gelandangan.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Sarawak sempat meluangkan masa beramah mesra dengan para gelandangan dan bertanya mengenai produk yang dihasilkan oleh penghuni di TTG semasa lawatan itu.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Buckland Bangik, Residen Bahagian Sibu Wong Hee Sieng, Pegawai Daerah Sibu Khalid Andong dan juga Pemanca Datuk Jason Tai. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *