Kerajaan Sarawak Komited Bentuk Rakyat Berintegriti Tinggi

UKAS  > Edisi-Tengah >  Kerajaan Sarawak Komited Bentuk Rakyat Berintegriti Tinggi
0 Comments

AHAD, 19 MAC 2023

MUKAH: Kerajaan Sarawak sentiasa komited ke arah menjadikan Sarawak negeri yang maju dan berintegriti tinggi. 

Demikian jelas Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya dalam ucapannya pada Program Jelajah Integriti Siri 4/2023 Daerah Kecil Balingian di Dewan Masyarakat Balingian pada Jumaat. 

Katanya, bukan hanya maju dan rakyatnya berpendapatan tinggi malah pada masa sama Sarawak mempunyai rakyat yang berintegriti tinggi. 

“Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk mewar-warkan hasrat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030. 

“Ini hasrat dan cita-cita yang amat besar sebenarnya, bukan suatu perkara yang mudah. 

“Apabila Premier Sarawak melancarkan PCDS 2030, beliau bukan sahaja menggariskan hanya kemajuan fizikal, tetapi spiritual dan moral rakyat itu mesti diatur,” katanya. 

Jelanya lagi, perkara pertama dibuat oleh Premier Sarawak bersama-sama Ahli Kabinet ialah mengangkat sumpah ikrar bebas rasuah disaksikan oleh Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

“Saya rasa kita di Sarawak sahaja yang membuat semua ini,” ujarnya. 

Justeru, beliau berharap pemimpin akar umbi sama-sama dapat memupuk dan membudayakan nilai integriti yang tinggi di kalangan masyarakat dan menunjukkan kesungguhan serta komitmen kerajaan dalam melahirkan masyarakat maju berintegriti tinggi.

Seramai  200 orang peserta telah menghadiri program ini yang terdiri daripada Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK), Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), kaunselor dan penjawat awam. 

Sementara itu Penghulu Langi Telajan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Unit Integriti dan Ombudsman kerana telah mengadakan program seperti ini. 

“Dengan adanya taklimat seperti ini sedikit sebanyak pentadbiran di peringkat JKKK dapat dibuat dengan lebih teratur dan berintegriti,” ujarnya. 

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi, Residen bahagian Mukah Kueh Lei Poh serta Ketua-Ketua Jabatan.-EDISI UKAS 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *