Majlis Daerah Limbang Sediakan 173 Lot Untuk Peniaga Bazar Ramadan

UKAS  > Edisi-Utara >  Majlis Daerah Limbang Sediakan 173 Lot Untuk Peniaga Bazar Ramadan
0 Comments

ISNIN, 20 MAC 2023

LIMBANG: Majlis Daerah Limbang akan menyediakan 173 lot di kawasan bandar untuk peniaga bazar Ramadan pada bulan Puasa nanti.

Menurut Walikota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat, permohonan bagi tapak jualan bazar telah ditutup pada 18 Mac dan satu sesi taklimat kepada peniaga akan diadakan pada 21 Mac ini.

“Taklimat tersebut bertujuan untuk menerangkan kepada peniaga tentang peraturan dan syarat yang mesti dipatuhi.

“Perasmikan bazar pula akan diadakan pada 25 Mac oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Makan Malam Karnival Sukan Majlis Daerah Zon Utara Sarawak 2023 di sini pada Ahad.

Menyentuh berkenaan karnival tersebut, beliau memberitahu, ia dapat meningkatkan semangat kesukanan dan semangat persaudaraan di kalangan peserta terlibat.

“Dalam masa sama, kakitangan Majlis Daerah Limbang juga dapat berkenalan antara satu sama lain sekali gus merapatkan hubungan silaturahim,” tambahnya.

Sebanyak 13 acara sukan dipertandingkan pada Karnival Sukan Majlis Daerah Zon Utara Sarawak 2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Mac.

Karnival kali ini melibatkan penyertaan dari kakitangan Majlis Daerah Limbang, Majlis Daerah Lawas, Majlis Daerah Marudi dan Majlis Daerah Subis.

Johan keseluruhan dimenangi oleh kontigen Majlis Daerah Lawas dan tempat kedua disandang oleh Majlis Daerah Limbang.

Tempat ketiga dirangkul oleh Majlis Daerah Subis manakala Majlis Daerah Marudi menduduki tempat keempat.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Setiausaha Majlis Daerah Limbang Petrick Linggie Taboh, Timbalan Pengerusi Kelab Sukan dan Kebajikan Majlis Daerah Limbang (KESUMA) Mohammad Syamil Jumain dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Pembangunan Komuniti Majlis Daerah Limbang Kr Frederik Lalung Ngilo. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *