TBS Komited Bantu Golongan Asnaf Sibu

UKAS  > Edisi-Tengah >  TBS Komited Bantu Golongan Asnaf Sibu
0 Comments

ISNIN, 20 MAC 2023

SIBU: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) melalui Pejabat Bahagian Sibu telah mengadakan Hari Bersama Asnaf Sibu tahun 2023 yang dihadiri lebih 800 orang pengunjung dan peserta terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. 

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengurus Besar TBS Datu Mejar (K) Abg. Mohd. Shibli Abg. Mohd Nailie di Dewan Kompleks Islam Sarawak, Sibu pada Sabtu.

Seramai 300 asnaf hadir bagi aktiviti ‘free market’ dan menerima agihan bantuan. 

Menurut Abg Mohd Shibli, aktiviti free market diadakan bagi membuka peluang kepada masyarakat umum agar bersama-sama menyumbang pakaian, makanan dan seumpamanya kepada para asnaf dan mereka yang memerlukan.

Selain itu, program turut dimeriahkan dengan 222 penyertaaan berbasikal dari pelbagai bangsa dan agama serta 189 penyertaan senamrobik. 

Ia turut diisi dengan aktiviti derma darah dengan kerjasama Yayasan Kepimpinan Al Bait dan Unit Transfusi Darah, Hospital Sibu.

“Objektif penganjuran program ini adalah bertujuan untuk menyemai dan mentarbiahkan masyarakat dengan budaya suka menyumbang kepada golongan yang memerlukan bantuan. 

“Aktiviti berbasikal turut dianjurkan bagi menyuburkan perpaduan dan kehamomian dalam kalangan masyarakat majmuk,” kata Abg Mohd Shibli.

Untuk rekod, sejumlah RM33,600 telah diagihkan oleh TBS kepada 140 penerima bantuan di bawah Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan dan Program Memantapkan Kebajikan Ummah.

Setakat 28 Februari 2023, sebanyak RM13.02 juta zakat telah diagihkan kepada asnaf melalui empat program utama iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan, Program Membangunkan Institusi Islam, Program Memantapkan Kebajikan Ummah dan Program Peningkatan Kemahiran Ummah.

Selepas program bersama asnaf, telah diadakan satu sidang media tentang kadar Zakat Fitrah bagi tahun 1444H/ 2023M bertempat di galeri Kompleks Islam Sarawak, Sibu.

Menurut Abg Mohd Shibli, kadar Zakat Fitrah yang telah ditetapkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sarawak bagi tahun ini ialah RM7 seorang.

Jelasnya, ia memenuhi keperluan masyarakat Islam yang menunaikan kefardhuan Zakat Fitrah pada bulan Ramadhan.

“Tabung Baitulmal Sarawak juga telah menyediakan pelbagai kaedah pembayaran termasuklah di semua kaunter Tabung Baitulmal Sarawak dan melalui 783 orang Amil di seluruh Sarawak.

“Bayaran Zakat Fitrah juga boleh dibayar atas talian melalui Portal Rasmi ‘Baitulmal Kamek dan Aplikasi Tabung Baitulmal Sarawak dan turut boleh dibayar melalui perbankan atas talian Maybank2U, Maybank QRPay, Bank Muamalat QRPay, MyEG dan SnapNPay dan Sarawak Pay,” ujarnya.

Manakala, bagi pembayaran Zakat Harta pula, pelanggan boleh membuat bayaran di kaunter atau melalui portal Baitulmal Kamek, aplikasi perbankan serta aplikasi Tabung Baitulmal Sarawak dan semua saluran perbankan atas talian di pelbagai bank.

Sepanjang bulan Ramadhan, TBS juga akan menganjurkan Program ‘Kasih Ramadhan’ di seluruh Sarawak bagi menyantuni Pejabat TBS di setiap bahagian. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *