5000 Pasang Baju Raya ‘Prelove’ Buat Golongan Memerlukan

UKAS  > Edisi-Selatan >  5000 Pasang Baju Raya ‘Prelove’ Buat Golongan Memerlukan
0 Comments

RABU, 22 MAC 2023

KUCHING: Yayasan Kepimpinan Al Bait (YKAB) melalui Program Infak Baju Raya Al Bait telah berjaya mengumpul lebih kurang 5,000 pasang baju raya ‘prelove’.  

Menurut Pengerusi YKAB Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie, program ini merupakan satu inisiatif yang menggalakkan masyarakat untuk sama-sama membantu orang-orang yang terkesan dan memerlukan. 

“Orang ramai telah menghantar baju khas hari raya mereka yang masih baik dan berkualiti untuk membantu golongan B40 yang benar-benar memerlukan. 

“5000 pasang baju ini adalah hasil sumbangan 350 orang awam dalam masa satu minggu dan kami telah menetapkan baju yang ingin disumbangkan mestilah berbentuk baju raya,” katanya pada Program Infak Baju Raya Al Bait di Pusat Beli Belah Majma Mall pada Rabu.

Orang awam yang memerlukan pakaian percuma menjelang lebaran boleh hadir ke Lot C16, Aras 2, Majma’ Mall pada setiap hari Sabtu dan Ahad, sepanjang bulan Ramadan bermula pada 25 Mac ini dari jam 10 pagi sehingga 5 petang. 

Dalam majlis yang sama, Tabung Baitulmal Sarawak turut serta menyumbang Bakul Kasih Kenyalang yang bernilai RM1890 kepada 27 penerima terpilih untuk persiapan mereka menyambut Ramadan. 

Selain itu, penyewa-penyewa di Majma Mall juga memberikan sumbangan sebanyak RM5,400 untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan. 

Datu Abang Mohd Shibli juga berharap pihak media boleh membantu mewar-warkan perkara ini kerana bagi beliau ini adalah salah satu cara untuk menyumbang kembali kepada masyarakat. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *