Forum Raspberry Pi Sempena Minggu Sains MEITD Pada Awal Julai Depan

UKAS  > Edisi-Selatan >  Forum Raspberry Pi Sempena Minggu Sains MEITD Pada Awal Julai Depan
0 Comments

RABU, 22 MAC 2023

KUCHING: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) akan mengadakan satu program baharu iaitu Raspberry Pi Forum sempena Minggu Sains MEITD pada awal Julai depan.

Menterinya, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, forum berkenaan merupakan program lanjutan kepada projek pembekalan komputer Raspberry Pi ke semua sekolah rendah di Sarawak.

“Forum ini bertujuan menyediakan satu platform untuk guru-guru kita terutamanya para guru ICT bertukar pandangan dan idea berkaitan penggunaan komputer Raspberry Pi dalam kelas di samping mempamerkan projek inovasi murid-murid yang berasaskan Pi.

“Dijangkakan seramai 1,000 orang guru dan murid akan menyertai program Raspberry Pi Forum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri MEITD Datuk Francis Harden Hollis semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Blok Pentadbiran Baharu dan Blok Akademik Dinaiktaraf Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang di sini pada Rabu.

Majlis penyerahan itu telah disempurnakan oleh Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari bersama tetamu jemputan yang hadir.

Selain itu, MEITD juga sedang merancang untuk menganjurkan Persidangan Kepimpinan Sekolah Sarawak yang dijangka akan diadakan pada bulan Mei yang menyasarkan 400 orang pemimpin sekolah termasuk Pengetua, Guru Besar dan Penolong Kanan dari Bahagian Utara Sarawak.

Tambahnya persidangan ini kelak akan meliputi seluruh Sarawak melalui siri program yang akan datang.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Dato’ Ibrahim Baki, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Pendidikan) Datuk Amar Micheal Manyin Jawong, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Merpati Jepang Dato Dr. Zaiedi Suhaili, Pengarah JKR Sarawak Ir Richard Tajan, Setiausaha Tetap MEITD Azmi Bujang dan Guru Besar SK Merpati Jepang Hasim Seli.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *