Kerajaan Sarawak Peruntuk RM160 Juta Bangunkan Infrastruktur Pendidikan

UKAS  > Edisi-Selatan >  Kerajaan Sarawak Peruntuk RM160 Juta Bangunkan Infrastruktur Pendidikan
0 Comments

RABU, 22 MAC 2023

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah menyalurkan peruntukan yang besar melalui Projek Rakyat untuk membangunkan sekolah-sekolah yang mempunyai keperluan mendesak untuk berpindah, membaiki atau membina bangunan atau fasiliti sekolah di negeri ini.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Kerajaan Sarawak telah meluluskan kira-kira RM160 juta bagi melaksanakan Projek-Projek Rakyat itu.

“Antara Projek-projek Rakyat yang telah dilulus Kerajaan Sarawak termasuklah projek Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Segan Bintulu, SK Maludam Betong, SK Pulo Kuching, SK Penasu Daro dan SK Merpati Jepang yang bernilai lebih kurang RM160 juta keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri MEITD Datuk Francis Harden Hollis semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Blok Pentadbiran Baharu dan Blok Akademik Dinaiktaraf Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang di sini pada Rabu.

Majlis penyerahan itu telah disempurnakan oleh Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari bersama tetamu jemputan yang hadir.

Dalam pada itu, beliau juga mendedahkan kesemua projek ini akan siap dalam masa dua tahun.

Ujarnya lagi, MEITD telah dipertanggungjawabkan sebagai agensi klien bagi semua projek pembangunan sekolah di bawah Kerajaan Sarawak.

“Sebagai agensi klien, Kementerian kami bekerjasama rapat dengan agensi-agensi teknikal seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Tanah dan Survei dan Pihak Berkuasa Tempatan sejak peringkat pra-pembinaan lagi dalam perancangan projek, mereka bentuk, mengenalpasti tapak, memudahcara dalam urusan permohonan kelulusan dan sebagainya sehingga ke peringkat pembinaan.

“Kami bersedia menyelaras, mencari jalan penyelesaian untuk sebarang masalah yang dihadapi projek dan memantau kemajuan projek dengan rapi bagi memastikan projek siap mengikut jadual dan akhir sekali diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak yang merupakan pengguna akhir dalam keadaan yang sempurna dan seperti yang dijanjikan,” jelas beliau lagi.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Dato’ Ibrahim Baki, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Pendidikan) Datuk Amar Micheal Manyin Jawong, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Merpati Jepang Dato Dr Zaiedi Suhaili, Pengarah JKR Sarawak Ir Richard Tajan, Setiausaha Tetap MEITD Azmi Bujang dan Guru Besar SK Merpati Jepang Hasim Seli.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *