Konvensyen Autisme Bantu Pendidik Dan Ibu Bapa Hadapi Cabaran

UKAS  > Edisi-Tengah >  Konvensyen Autisme Bantu Pendidik Dan Ibu Bapa Hadapi Cabaran
0 Comments

RABU, 22 MAC 2023

SIBU: Persatuan Autistik Sibu akan mengadakan Konvensyen Autisme Kebangsaan selama dua hari di sebuah hotel di sini mulai 6 Mei untuk membantu para pendidik dan ibu bapa mengharungi cabaran gangguan spektrum autisme di sekolah dan rumah melalui sesi perkongsian dengan panel pakar.

Presiden persatuan itu, David Ngu berkata konvensyen itu akan menyediakan maklumat berasaskan bukti untuk pendidik dalam membangunkan program pendidikan yang berkesan untuk pelajar yang mengalami gangguan spektrum autisme.

“Mereka akan mengenali pendidikan inklusif, kepentingan bermain, terapi pekerjaan dan diet seimbang untuk pelajar autisme,” katanya pada sidang media National Autism Convention 2023 di Hotel RH Sibu pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa keluarga yang mempunyai anak autisme boleh mendapatkan beberapa tip keibubapaan untuk kanak-kanak autisme dan meningkatkan kemahiran komunikasi anak-anak mereka di rumah serta mencungkil bakat kanak-kanak autisme daripada sesi perkongsian nanti.

Jelasnya, mereka yang berminat untuk menyertai boleh mendaftarkan diri dengan mengimbas kod QR konvensyen di laman Facebook Persatuan Autistik Sibu.

“Yuran pendaftaran adalah RM100 untuk penduduk Sarawak manakala peserta yang luar daripada Sarawak adalah sebanyak RM150,” ujarnya.

Menurut Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (NASOM), setiap 1 dalam 68 kanak-kanak didiagnosis sebagai autisme.

Ini bermakna terdapat 9,000 bayi yang baru lahir disahkan autisme di Malaysia.

Statistik ini telah menunjukkan bahawa tahap keterukan autisme di kalangan kanak-kanak adalah penting bagi keluarga dan masyarakat untuk mengambil tindakan yang perlu secepat mungkin.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *