Polis Sibu Lancar Tinjauan Kepuasan Perkhidmatan Pelanggan Dalam Talian

UKAS  > Edisi-Tengah >  Polis Sibu Lancar Tinjauan Kepuasan Perkhidmatan Pelanggan Dalam Talian
0 Comments

RABU, 22 MAC 2023

SIBU: Polis Sibu telah melancarkan tinjauan kepuasan perkhidmatan pelanggan dalam talian menggunakan kod QR.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata orang ramai boleh meninggalkan cadangan, aduan mahupun menyalurkan maklumat mengenai kegiatan jenayah melalui tinjauan dalam talian.

“Ini adalah satu inovasi berbanding penggunaan peti cadangan atau aduan manual yang sebelum ini diletakkan di balai polis.

“Jadi kali ini kami menggunakan digital di mana pelanggan kami boleh mengimbas kod QR dan meninggalkan cadangan atau aduan mereka pada perkhidmatan kami.

“Ini adalah usaha kami dalam meningkatkan kepuasan pelanggan dari segi kecekapan perkhidmatan yang disediakan,” katanya ketika ditemui para media dalam majlis Perhimpunan Sempena Hari Polis ke 216 Tahun 2023, di Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu pada Isnin.

Mengulas lanjut, Zulkipli berkata tinjauan dalam talian itu tersedia dalam tiga bahasa iaitu Inggeris, Melayu dan Mandarin.

“Kod QR akan disediakan di tempat yang mudah diakses oleh pelanggan kami di keempat-empat balai polis di bawah ibu pejabat polis daerah Sibu,” katanya.

Beliau berkata maklum balas yang diterima daripada tinjauan itu akan digunakan untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan mereka.

“Kami mempunyai pasukan khas untuk memantau semua aduan yang dibuat oleh masyarakat dan saya akan mendapatkan laporan terus daripada pasukan.

“Pasukan akan menilai maklum balas yang dikumpul daripada tinjauan dan jika terdapat kelemahan, kami akan cuba memperbaikinya,” tambahnya.

Seramai 360 pegawai dan anggota polis telah menyertai pehimpunan sempena sambutan Hari Polis ke-216 itu.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek, Pegawai Operasi Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak Erwandy Tugor, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh, Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai, Temenggong Stanley Geramong Bandar dan Temenggong Datuk Wan Hamid Edruce Tuanku Mohamad.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *