46 Projek Berimpak Tinggi Naik Taraf Sistem Bekalan Air Di Bintulu

UKAS  > Edisi-Utara >  46 Projek Berimpak Tinggi Naik Taraf Sistem Bekalan Air Di Bintulu
0 Comments

KHAMIS, 23 MAC 2023

BINTULU: Sebanyak 46 projek bekalan air berimpak tinggi dengan jumlah nilai sekitar RM766 juta kini sedang rancak dilaksanakan bagi menambahbaik infrastruktur dan sistem bekalan air di bahagian Bintulu.

Menurut Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, projek-projek ini dirancang dengan teliti oleh kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUTS) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak serta kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Kesemua projek ini dilaksanakan bagi menampung permintaan bekalan air yang semakin meningkat di bahagian Bintulu,” katanya dalam sidang media ketika melakukan lawatan kerja ke Pejabat JBALB Bahagian Bintulu pada Rabu.

Difahamkan setakat ini, 29 projek bekalan air bernilai sekitar RM216 juta telah siap dilaksanakan manakala 9 projek dengan kos sekitar RM130 juta masih dalam fasa pembinaan dan menunjukkan perkembangan yang amat positif.

Selain itu, terdapat 8 projek berjumlah sekitar RM421 juta masih berada dalam fasa perancangan.

Dalam pada itu, Datuk Dr Abdul Rahman berkata, pelaksanaan projek-projek ini dijangka turut akan melonjakkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat dan memangkin pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan serta memberi jaminan kualiti kehidupan yang lebih baik kepada penduduk di bahagian Bintulu.

“JBALB Sarawak akan memastikan semua projek yang sedang dalam pelaksanaan akan disiapkan dalam jangka masa yang ditetapkan.

“Setiap projek ini merupakan sebahagian daripada Sistem Grid Bekalan Air Sarawak yang diilhamkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh,” katanya lagi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chukpai Ugon, Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti, Pegawai Daerah Sebauh William Manggoi, Pengurus Wilayah Utara JBALB Sarawak Tie Tung Ing dan Jurutera JBALB Bahagian Bintulu Lai Kien Hong.

Datuk Dr. Abdul Rahman kemudiannya mengadakan lawatan ke Stesen Pam Penggalak Maskat dan Tangki Air Simpanan Maskat yang dijangka akan siap bulan Jun 2023.

Projek bagi kedua-dua fasiliti yang menelan belanja kira-kira RM37 juta ini akan membantu dalam meningkatkan liputan bekalan air bersih serta memanfaatkan para pengguna air sepanjang jalan Bintulu-Miri (Lebuhraya Pan Borneo sehingga Lembaga Getah Malaysia). -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *