KPDN Laksana Pelbagai Inisiatif Stabilkan Semula Kos Sara Hidup Rakyat

UKAS  > Edisi-Utama >  KPDN Laksana Pelbagai Inisiatif Stabilkan Semula Kos Sara Hidup Rakyat
0 Comments

KHAMIS, 23 MAC 2023

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Kos Sara Hidup telah dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu menstabilkan semula kos sara hidup rakyat terutama dari segi penetapan harga barangan dan perkhidmatan yang dijual.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, dengan kerjasama Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Perladangan Dan Komoditi, segala inisiatif dan tindakan itu dibawa ke Jemaah Menteri untuk diputuskan sebagai komitmen berterusan kerajaan.

“Ia merangkumi pemberian subsidi elektrik sehingga Disember ini bagi pengguna domestik, Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS), industri dalam sektor pertanian serta beberapa industri terpilih lain.

“Subsidi ayam dan telur ayam diteruskan sehingga Jun ini, termasuk pelaksanaan Payung Rahmah yang merangkumi lima program utama antaranya Bakul Rahmah, Jualan Rahmah, Pakej Rahmah, Kafe Rahmah dan Menu Rahmah,”katanya menerusi jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negara, Senator Dato Dr. Nuing Jeluing pada Rabu.

Dalam pada itu Datuk Seri Salahuddin memberitahu, KPDN telah memperluas program ‘Community Drumming’ ke kawasan baharu antaranya Paloh dan Passin, Sarawak, Pasir Raja, Terengganu dan Kuala Krai, Kelantan.

Program tersebut jelasnya untuk menampung kos pengangkutan dan pengedaran tujuh barangan keperluan seperti beras, gula, minyak masak, tepung, gas petroleum cecair LPG, petrol RON95 dan diesel bagi memastikan bekalan mencukupi di luar bandar serta mendapat kawalan pada harga berpatutan seperti di bandar.

Beliau menambah, tindakan penguatkuasaan melalui pemeriksaan harga di premis makanan juga dijalankan seperti Ops Catut, Ops Samar dan Ops Menu untuk melindungi hak pengguna dan pelanggan daripada aktiviti tidak bertanggungjawab peniaga yang mencatut harga sesuka hati.

Selain itu, pemberian subsidi minyak masak paket beharga RM2.50 yang terbuka kepada semua golongan telah dipersetujui oleh kerajaan termasuk meneruskan penetapan harga siling bergerak bagi minyak masak sawit kemasan botol 1 kilogram (kg), 2kg, 3kg dan 5kg.

Pada masa sama, ujar Datuk Seri Salahuddin lagi, KPDN turut melaksanakan dua Bengkel Kos Sara Hidup berkaitan dengan inisiatif yang boleh dilaksana negara dan subsidi bersasar.

“Kerajaan akan mengumumkan langkah-langkah jangka pendek dan sederhana yang melibatkan program sedia ada dan baharu dalam membantu terus rakyat daripada golongan sasar.

“Akhirnya, dalam tempoh enam hingga 12 bulan, kerajaan dapat memperincikan semula hala tuju jangka panjang terutamanya berkaitan dengan pendapatan dan pelaksanaan subsidi dengan lebih efektif dan efisien,” jelas beliau. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *