KHAMIS, 30 MAC 2023

KUALA LUMPUR: Cadangan bagi mewujudkan satu pangkalan data yang komprehensif telah dipersetujui oleh Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kebangsaan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, pangkalan data yang komprehensif yang menggabungkan semua agensi adalah penting dan perlu dalam menjayakan mekanisme pelaksanaan program dan pemberian bantuan.

“Memang banyak agensi mempunyai data-data mereka tersendiri tetapi kita perlukan satu pangkalan data yang komprehensif yang menggabungkan semua agensi termasuk dari segi pendaftaran syarikat.

“Ini penting kerana kita hendak mengetahui apakah program-program yang dapat kita laksanakan secara bersepadu dan supaya tidak ada berlaku pertindihan dan kita menepati sasaran yang mana perlu dibantu dan diberi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kebangsaan di Bangunan Parlimen di sini pada Khamis.

Mesyuarat berkenaan telah dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri (Dr) Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, turut hadir bersama Datuk Amar Awang Tengah ialahPenasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Mohd Naroden Majais dan Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkornain Masron.

Menjelas lanjut, beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata, pangkalan data ini harus diwujudkan terutama sekali di peringkat nasional dan untuk dikongsi bersama semua agensi.

Sementara itu, menurut Datuk Amar Awang Tengah juga, turut dipersetujui ialah mengenai cadangan mewujudkan satu jawatankuasa koordinasi semua agensi di peringkat Sarawak.

Beliau menjelaskan, ia adalah bagi memastikan, agensi-agensi yang terlibat untuk memastikan pembangunan dari segi perusahaan kecil dan sederhana serta pembangunan keusahawanan akan dapat diselaraskan.

Tambah beliau lagi, ia juga diterima pakai di peringkat nasional. -Edisi UKAS

add comment