SABTU, 1 APRIL 2023

KUALA LUMPUR: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah membuat lawatan ke Malaysia Grand Bazaar dan Lalaport Kuala Lumpur pada Jumaat. 

Kedua-dua premis ini di bawah pengurusan  Urban Development Agency (UDA) iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang menyediakan ruang niaga kepada usahawan terutamanya usahawan Bumiputera.

Tujuan lawatan tersebut adalah untuk meninjau dan melihat peluang serta ruang kerjasama yang dapat dilakukan di antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak dan UDA bagi membantu usahawan Sarawak mempromosi dan memasarkan produk-produk mereka di pasaran Semenanjung Malaysia dan antarabangsa.

Dalam masa sama, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan telah diberi taklimat berkenaan fungsi utama UDA dalam pembangunan hartanah dan pengurusan aset.

Beliau turut berkesempatan melawat usahawan Sarawak yang memiliki ruang niaga di premis tersebut.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia Senator Saraswathy Kandasami, Penasihat PKS MINTRED Datuk Mohd Naroden Majais, Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED Dzulkornain Masron dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad Datuk Sr. Mohd. Salem Kailany. -Edisi UKAS

add comment