SELASA, 23 MEI 2023

KUCHING: Sarawak dijemput sebagai Negeri Tamu bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (PABKL) ke-40 yang berlangsung pada 26 Mei hingga 4 Jun depan di Kuala Lumpur.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak, Datu Sherrina Husaini berkata, pesta yang berlangsung selama 10 hari itu akan mengetengahkan penerbitan tempatan, kraftangan tempatan, budaya, seni kreatif dan seni persembahan. 

“Antara budaya, persembahan, seta seni tempatan yang bakal diketengahkan adalah bermukun atau nopeng, ngajat, sape, songket Sarawak dan banyak lagi.

“Sarawak juga tidak akan ketinggalan mengadakan jualan khasnya buku-buku terbitan Pustaka dan penulis-penulis Sarawak, kraftangan dan kek lapis dan ‘photo booth’ pakaian tradisi Sarawak,” katanya dalam sidang media sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (PBAKL) ke-40 di Pustaka Negeri Sarawak di sini pada Selasa. 

Mengulas lanjut, beliau menyatakan program ini diyakini dapat mempromosi industri pelancongan dan pelaburan ke Sarawak sekaligus menampilkan dan memartabatkan budaya seni tempatan Sarawak khususnya. 

Program tersebut akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mei 2023. 

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah juga dijangka hadir ke program tersebut pada 26 Mei 2023.

Beliau menambah selain Sarawak, PABKL turut menyaksikan China sebagai Negara Tamu dan Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai Kementerian Tamu.-EDISI UKAS

add comment