Premier Sarawak Saran Syarikat ADAM Digital Assets Sdn Bhd Bekerjasama Dengan SEB

UKAS  > Edisi-Selatan >  Premier Sarawak Saran Syarikat ADAM Digital Assets Sdn Bhd Bekerjasama Dengan SEB
0 Comments

ISNIN, 29 MEI 2023

KUCHING: Syarikat ADAM Digital Assets Sdn Bhd mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di pejabatnya, Wisma Bapa Malaysia pada Isnin.

Kunjungan tersebut bertujuan untuk memohon bantuan daripada kerajaan Sarawak bagi memperuntukkan bekalan kuasa kepada syarikat tersebut.

Menurut Pengerusi ADAM Digital Assets Sdn Bhd, Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar, pihaknya akan bersama-sama dengan syarikat dari China dalam usaha membangunkan fasiliti pembuatan panel solar yang pertama di Asia Tenggara.

Ujarnya ketika ditemui media, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menyaran agar pihaknya merancang dengan tepat keperluan kuasa mereka pada tahun 2025 dan tahun-tahun mendatang, seterusnya mengadakan perbincangan bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) bagi menyesuaikan perancangan mereka dengan kemampuan SEB dalam menyediakan bekalan kuasa.

“Kami memerlukan komitmen kuasa berjumlah lebih kurang 270 megawatt pada tahun 2025 bagi fasa pertama fasiliti kami ini.

“Selepas berbincang dengan Yang Amat Berhormat Premier Sarawak, kita faham tentang keupayaan SEB dan kita akan berbincang dengan mereka tentang beberapa kemampuan yang mereka dapat bekalkan kepada syarikat kami ini, miminum pada tahun 2025 sehinggalah keperluan sepenuhnya sebanyak 700 megawatt,” katanya selepas kunjungan berkenaan.

Dalam pada itu, Tan Sri Dato’ Sri Khalid turut menyatakan bahawa, pihaknya menjangka akan dapat menawarkan sebanyak 2000 peluang pekerjaan bagi fasa pertama dan kedua fasiliti tersebut.

Turut bersama beliau dalam kunjungan itu ialah Timbalan Pengerusi ADAM Digital Assets Sdn Bhd Datuk Norazuwan Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif ADAM Digital Assets Sdn Bhd Mayani Zunita Mohamad Bohari dan Mohd Izhar Ibrahim, Pengarah ADAM Digital Assets Sdn Bhd Awang Muhamad Zaki Yamani Awang Bohari serta Presiden Pengurusan Perniagaan ADAM Digital Assets Sdn Bhd Izzad Sulaiman Mohd Izhar.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *