JUMAAT, 23 JUN 2023

MIRI: Kerajaan Sarawak menerusi Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sarawak (SEDCC) terus memperkasakan pembangunan ekonomi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negeri ini. 

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, SEDCC telah meluluskan dua inisiatif iaitu ‘Review of Business Registration Process in Sarawak’ dan ‘Micro, Small, and Medium Entreprenuers (MSME) Database System Development’ yang akan dibangunkan tidak lama lagi. 

“SEDCC yang telah bermesyuarat pada 7 Mac lepas telah memutuskan untuk melaksanakan dua inisiatif iaitu ‘MSME Database System Development’ dan ia akan dilaksanakan untuk membantu PMKS di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Program Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Zon Sarawak 2023 di sini pada Jumaat. 

Program Minggu PMKS Zon Sarawak 2023 dianjurkan oleh SME Corp. Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED).

Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata, kementeriannya telah menyediakan kemudahan infrastruktur untuk usahawan tempatan bagi merancakkan lagi aktiviti perniagaan mereka di Miri.

Katanya, selain Taman Perindustrian Kuala Baram, Kerajaan Negeri telah meluluskan pelaksanaan projek-projek seperti Estet Perindustrian Marudi (Kerja Tambahan), Anjung Usahawan/Estet Perindustrian Mini Long Lama, Anjung Usahawan Beraya dan Anjung Usahawan Simpang Bekenu.

Dalam majlis sama, beliau turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman antara Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) bersama Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dan TikTok Pte. Ltd.

Sementara itu, beliau juga telah menyerahkan geran Go Digital RM5 juta yang akan membantu sebanyak 500 usahawan seluruh Sarawak. 

Dalam pada itu, beliau turut menyerahkan geran Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS), Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS), Program Graduan ke Arah Keusahawanan (GERAK) dan Usahawan Teknikal & Vokasional (USTEV) kepada lima wakil yang akan memberi manfaat kepada lebih daripada 200 orang usahawan di negeri ini. 

Turut hadir, Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Malaysia, Senator Saraswathy Kandasami, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek) Datuk Gerawat Gala, Konsul Agung Negara Brunei Darussalam ke Sarawak Noni Zurainah Ismi, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan II (Pembangunan Usahawan) Dr. Ripin Lamat, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak) Datuk Rosey Yunus dan Penasihat (PKS) MINTRED Datuk Mohd Naroden Majais.-EDISI UKAS

add comment