SELASA, 25 JULAI 2023

KUCHING: Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) mahu bekerjasama dengan kerajaan Sarawak dalam membantu usahawan francais di negeri ini. 

Pengerusi PERNAS, Dato’ Hazimah Zainuddin berkata, pihaknya komited dalam mengembangkan lagi konsep francaisor dan francaisi di Sarawak.

“Tujuan kita adalah untuk mengembangkan bidang francais iaitu mencari lebih banyak lagi usahawan dalam bidang ini dan untuk melantik konsep francaisor dan francaisi di Sarawak dan juga kita akan memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada mana-mana syarikat yang ingin membawa perniagaan dari Sarawak ke Semanjung,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di pejabatnya, Wisma Bapa Malaysia di sini pada Selasa. 

Hadir sama, Pengarah PERNAS, Dato Abu Bakar As-Sidek Dato Mohd Sidek berkata, antara inisiatif yang dilakukan adalah program BizFrancais yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu ini. 

“Ini merupakan salah satu cara kami untuk memperkenalkan perniagaan francais ini kepada usahawan di Sarawak untuk mereka lebih terbuka mengenali apa itu perniagaan francais ini dan juga peluang yang mereka akan dapat usahawan francaisi dan francaisor yang sedia ada,”katanya.  

Dalam pada itu, katanya pihak mereka akan meneruskan kerjasama dengan kerajaan Sarawak dalam membantu meningkat ekonomi dan membantu usahawan di negeri ini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Perancangan Ekonomi & Pembangunan) Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel dan Ketua PERNAS Cawangan Sarawak, Vivisher Gider.-EDISI UKAS 

add comment