KHAMIS, 17 OGOS 2023

KOTA SAMARAHAN: Golongan ibu bapa harus memberi bimbingan, panduan serta asuhan kepada anak-anak termasuk dalam aspek pendidikan seksual.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah memberitahu, hal ini adalah untuk menjamin hak anak-anak terpelihara.

“Perkara ini bukanlah bertujuan untuk mendedahkan mereka dengan perkara-perkara negatif seawal usia mereka, tetapi bertujuan agar ibu bapa bersikap lebih terbuka dan membuka minda mereka seluas-luasnya.

“Sebab inilah kita rasa perkara itu (pendidikan seksual) masih diperlukan sekarang ini untuk memastikan kesedaran dan juga dari segi intervensi sewajarnya.

“Sekiranya berlaku pencerobohan ke atas hak kanak-kanak itu, mereka tahu apa yang perlu dilakukan, ke mana laporan harus dibuat dan seterusnya tindakan untuk memastikan dari segi sosioemosi kanak-kanak itu juga dapat diberi perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Seminar Perdana ‘Inaugural Lecture Parenting On Sexuality’ di Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini pada Khamis.

Seminar Perdana tersebut disampaikan oleh Timbalan Dekan Profesor Fakulti Perubatan Sains Kesihatan (Perubatan Masyarakat & Kesihatan Awam) UNIMAS Profesor Dr. Razitasham Safi.

Dato Sri Fatimah berkata, pengisian sepanjang seminar itu diadakan adalah untuk memberi pendedahan berkenaan pendidikan seks yang tidak hanya tertumpu kepada perlakuan seks semata-mata tetapi juga meliputi pelbagai aspek seperti biologi, intelek, emosi, sosial dan juga spiritual.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMAS Profesor Ir Ts Dr Al-Khalid Othman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UNIMAS Profesor Dr Siti Noor Linda Taib, Dekan Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan UNIMAS Profesor Dr. Asri Said dan tetamu jemputan lain. -EDISI UKAS

add comment