Keperluan Menaik Taraf Hospital Bintulu Akan Dibawa Ke Kabinet

UKAS  > Edisi-Utara >  Keperluan Menaik Taraf Hospital Bintulu Akan Dibawa Ke Kabinet
0 Comments

SABTU, 16 SEPTEMBER 2023

BINTULU: Keperluan untuk menaik taraf Hospital Bintulu akan dibawa ke peringkat kabinet kerajaan Persekutuan supaya dapat diluluskan di peringkat pusat untuk penambahbaikan fasiliti dan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.

Menteri Kesihatan Malaysia Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau telah mendengar taklimat berkenaan beberapa perkara semasa lawatan ke situ bersama Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dan pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sudah tentu ada perkara yang boleh kita laksanakan segera dan ada juga perkara-perkara yang kena kita kaji, antara perkara yang kita luluskan adalah berkaitan dengan projek-projek pembangunan fasiliti.

“Apa yang kita lihat, Bintulu memerlukan penambahbaikan fasiliti dan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.

“Kita lihat ada keperluan untuk Hospital Bintulu dinaik taraf, yang ini sudah tentunya perlukan kelulusan di peringkat pusat,” ujarnya semasa mengadakan lawatan kerja di Klinik Kesihatan Bintulu pada Jumaat.

Dr Zaliha berkata, pihaknya juga telah meluluskan peruntukan RM300,000 untuk penambaikan fasiliti di Hospital Bintulu.

Lawatan rasmi itu adalah atas jemputan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing sekaligus menyambut perasmian sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuching.

Antara fasiliti yang dilawati beliau bersama Dato Sri Tiong dan pasukan KKM adalah beberapa fasiliti di Hospital Bintulu, Klinik Kesihatan Kidurong dan Klinik Kesihatan Bintulu serta Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu.

Hadir sama mengiringi lawatan tersebut ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Ooi Choo Huck dan Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *