Masyarakat Harus Raikan Hari Malaysia

UKAS  > Edisi-Selatan >  Masyarakat Harus Raikan Hari Malaysia
0 Comments

AHAD, 17 SEPTEMBER 2023

TEBEDU:  Sambutan Hari Malaysia harus diraikan oleh setiap lapisan masyarakat sebagai langkah mengetahui dan memahami sejarah pembentukan negara ini. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, sejarah Malaysia harus dikenali khsuusnya oleh para belia yang akan menjadi generasi pelapis buat masa akan datang. 

“Tanggungjawab ini harus dipikul bersama khususnya para belia yang hari ini pasti akan menjadi generasi pelapis untuk sama-sama maju seiring dengan kaum lain,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Konsert Belia Sempena Sambutan Perayaan Hari Malaysia 2023 Peringkat Kampung Pichin di Dewan Tayung Langui Kampung Pichin di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Dr Simon berkata, penganjuran konsert belia seumpamanya wajar dicontohi sebagai platform mengumpulkan masyarakat pelbagai lapisan dan umur. 

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada belia bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pichin kerana telah berjaya menganjur Konsert Belia ini sempena Sambutan Hari Malaysia 2023,” katanya lagi. 

Beliau kagum dengan konsert tersebut yang menampilkan pelbagai persembahan seperti seni pertahanan diri oleh Pichin Martial Art club, tarian kebudayaan termasuk persembahan nyanyian dan muzikal.  

Justeru ADUN Tebedu itu berharap agar bakat-bakat ini sokong oleh ibu bapa memandangkan penglibatan generasi muda ini akan memberi motivasi kepada mereka menjadi untuk pemimpin yang berkualiti pada masa depan. 

Dalam pada itu, Konsert Belia ini turut dimeriahkan dengan persembahan dua kumpulan Rock tempatan iaitu The Thunder dan Mezzavoce yang merupakan band anak jati kampung Pichin yang cukup terbilang pada tahun 80an hingga ke hari ini. 

Turut hadir, wakil Pegawai Daerah Tebedu, Muhammad Faiz Rusydi, Pengerusi Pengelola, Ketua Kaum (KK) Rioi Lagit dan Pegawai Pertanian Bahagian Sri Aman John Jadol. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *