52 Petani, Penternak Di DUN Batu Kitang Terima Bantuan Pertanian AFF

UKAS  > Edisi-Selatan >  52 Petani, Penternak Di DUN Batu Kitang Terima Bantuan Pertanian AFF
0 Comments

ISNIN, 18 SEPTEMBER 2023

KUCHING: Seramai 52 petani dan penternak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang layak menerima bantuan pertanian fasa 1 di bawah Program Fasilitasi Pertanian (AFF) anjuran Jabatan Pertanian Daerah Kuching.

Daripada jumlah itu, 38 petani telah menerima bantuan tersebut di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Cina (SJC) Chung Hua Batu 10, di sini pada Ahad.

Penyerahan bantuan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Ir Lo Khere Chiang.

Semasa berucap, Khere Chiang memberitahu, bantuan kepada 14 penerima lagi akan diserahkan di Dewan Semeba, di sini pada tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Menurut beliau, AFF adalah inisiatif kerajaan Sarawak yang bertujuan membantu meningkatkan pendapatan keluarga tani dan sumbangan kepada pengeluaran pertanian yang berupaya menyokong pendapatan dari sektor eksport Sarawak.

Tambahnya, inisiatif ini mencerminkan semangat kerjasama dan usaha dalam mendorong kemajuan sektor pertanian di kawasan DUN Batu Kitang sekaligus memenuhi matlamat pembangunan ekonomi yang berterusan di Sarawak.

“Merujuk kepada Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 dan Pelan Induk Pemulihan Strategik yang diperkenalkan oleh Premier Sarawak, beliau menyatakan bahawa Sarawak mempunyai enam sektor ekonomi utama yang akan menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi, termasuk sektor pertanian komersial,”katanya.

Hadir sama ialah Kapitan Lim Eng Kok dan Pegawai Pertanian Kuching Syafizan.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *