Pertandingan Futsal Piala PBB N.22 Kedup Tarik Penyertaan 41 Pasukan

UKAS  > Edisi-Selatan >  Pertandingan Futsal Piala PBB N.22 Kedup Tarik Penyertaan 41 Pasukan
0 Comments

ISNIN, 18 SEPTEMBER 2023

SERIAN: Pertandingan Futsal Piala Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.22 Kedup yang berlangsung selama dua hari di Dewan Futsal Kampung Terbat Leban, di sini telah berjaya menarik penyertaan sebanyak 41 pasukan.

Daripada jumlah tersebut, 15 pasukan adalah di bawah kategori lelaki, 12 pasukan kategori wanita dan 14 pasukan kategori belia lelaki dari umur 16 hingga 18 tahun.

Perlawanan secara kalah mati itu bermula seawal jam 7.00 pagi pada Sabtu, manakala peringkat separuh akhir dan peringkat akhir pada jam 10.00 pagi Ahad.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Martin Ben telah hadir menyaksikan perlawanan akhir sekaligus menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang.

Johan membawa pulang sebuah piala, medal dan wang tunai RM500, Naib Johan mendapat medal dan wang tunai RM200 manakala tempat ketiga menerima medal dan wang tunai RM100.

Terdahulu dalam ucapan penangguhannya, Martin mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Pengelola Pertandingan, Patrict Miden dan semua pihak yang terlibat kerana berjaya mengadakan pertandingan tersebut walaupun dalam tempoh yang singkat.

“Objektif pertandingan amat kena pada masanya dengan sambutan kemerdekaan Sarawak, kerana jelas mempamerkan semangat perpaduan dalam kalangan pemain-pemain yang begitu bersemangat dan menunjukkan tahap disiplin yang tinggi sepanjang pertandingan diadakan.

“Pertandingan ini juga telah berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan usia dan latar belakang warga Kedup,”katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup turut berjanji untuk terus memberi sokongan dan cadangan agar acara-acara sukan dapat dianjur secara berterusan di peringkat kampung oleh Ranting PBB dan Unit Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) dalam memupuk semangat kerjasama berpasukan, memperkukuhkan hubungan masyarakat di samping mempromosikan gaya hidup sihat.

Keputusan perlawanan akhir Pertandingan Futsal Piala PBB N.22 Kedup bagi kategori Lelaki Terbuka telah menyaksikan pasukan Mapu menewaskan St Anthony dengan jaringan 3-2 menerusi sepakan penalti setelah seri 2-2 semasa permainan penuh.

Kategori Wanita Terbuka pula dirangkul pasukan Ayeb FT yang menang bergaya setelah menewaskan pasukan SEPOM dengan jaringan 4 gol tanpa balas.

Kategori belia lelaki juga menyaksikan perlawanan yang ketat, yang mana pasukan Black Rover (Antayan) mengalahkan Rivervills (Sangai) dengan jaringan 4-3 dalam sepakan penalti.

Hadir sama menyaksikan perlawanan akhir ialah Timbalan Ketua PBB Cawangan N.22 Kedup Ripin Daoh, Timbalan Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan N22 Kedup Kaunselor Katleen Duri Limin, Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan N22 Kedup Donald Blayong dan Ketua Kaum Kampung Terbat Leban Tom Sulong.-Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *