SABTU, 30 SEPTEMBER 2023

SARIKEI: Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) cawangan Sarikei terutamanya golongan wanita diseru untuk menggunakan peluang yang diberikan bagi mengurangkan isi rumah miskin.

Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh peluang yang diberikan adalah bantuan berbentuk kredit kewangan bersaiz kecil melalui pembiayaan ikhtiar kepada isi rumah miskin untuk menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi yang boleh meningkatkan pendapatan mereka tanpa mengira bangsa, agama, jantina dan fahaman politik.

Dalam hal ini, beliau berharap Usahawan AIM Cawangan Sarikei menggunakan peluang yang diberikan untuk mengubah halatuju kehidupan kepada yang lebih baik.

“Gunakanlah modal dengan sebaik yang mungkin. Tekadkanlah diri untuk menjadi usahawan yang baik dalam semua hal termasuk integriti yang tinggi serta mempunyai visi dan misi yang boleh berdaya saing bagi menjadikan setiap ruang perniagaan lebih kompetitif dan produktif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Sukan Tahun Sahabat Usahawan AIM Sarikei (SUTAIMS) 2023 di Kompleks Sukan Sarikei pada Sabtu.

Tambahnya, mikro kredit seperti yang dijalankan oleh AIM telah terbukti mampu untuk membangunkan ekonomi rakyat dan negara yang mengamalkannya.

Untuk makluman, AIM Wilayah Sarawak telah mengeluarkan modal pembiayaan sebanyak RM164 juta di mana RM9.7 juta telah disalurkan kepada usahawan yang berada di cawangan Sarikei setakat Ogos tahun ini.

Turut hadir Timbalan Pengurus Wilayah Amanah Ikhtiar Malaysia Wilayah Sarawak Hasbi Naziri, Pengerusi Kelab Usahanita Berjaya Sarikei Dayang Selamah Abang Ibrahim, Pengurus Cawangan Amanah Ikhtiar Malaysia Cawangan Sarikei Faizal Napis, Pegawai Eksekutif Wilayah Amanah Ikhtiar Malaysia Wilayah Sarawak Harman Salbi serta Penolong Pengurus Cawangan Amanah Ikhtiar Malaysia Cawangan Sarikei Asmawi Ahmad. – EDISI UKAS

add comment