JUMAAT, 1 DISEMBER 2023

KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melaksanakan projek pembinaan jalan utama dari persimpangan Jalan FAC menuju ke Tebingan Sungai Telaga Air.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, pembinaan jalan sepanjang 4.6 kilometer (km) tersebut secara langsung dapat memacu sosio-ekonomi masyarakat setempat menerusi kehadiran pengunjung yang lebih ramai.

“Pembinaan ini merupakan antara rancangan kerajaan untuk memastikan laluan ke lokasi tersebut lebih mudah pada masa akan datang.

“Ia juga bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya pada musim perayaan atau sambutan acara yang diadakan di kawasan tersebut,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pesta Regatta Telaga Air di sini pada Jumaat. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu menambah, pelbagai usaha pembangunan juga sudah dirancang untuk membangunkan Telaga Air sebagai kawasan pelancongan.

“Dengan keunikan yang ada di kawasan ini termasuk sajian makanan laut, pemandangan sungai dan gunung serta lain-lain, kawasan ini berpotensi untuk diangkat sebagai satu kawasan pelancongan kelak,” katanya. 

Tambahnya, Pesta Regatta Telaga Air 2023 merupakan satu langkah signifikan untuk mengangkat lokasi tersebut sebagai kawasan pelancongan.

“Penganjuran acara seperti ini dapat mendedahkan pelawat luar negeri atau negara terhadap kawasan ini selaian memberi manfaat khususnya kepada penduduk setempat,” jelasnya lagi. 

Turut hadir Pegawai Daerah Kuching Sohfi Jebal,  Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Tan Kai dan Residen Bahagian Kuching Norleha Shariff.-EDISI UKAS

add comment