KHAMIS, 21 DISEMBER 2023

KUCHING: Subvarian Omicron HK.3 dan JN.1 telah dikesan di beberapa kawasan di Sarawak.

Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Masyarakat (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak Profesor Dr David Perera memberitahu, subvarian Omicron dominan yang dikesan adalah HK.3 setinggi 26 peratus dan JN.1 setinggi 49 peratus.

“Sampel ini dikenal pasti terutamanya di kawasan Kuching dan Samarahan dengan beberapa kes dari Sibu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu laporan pemantauan kes positif COVID-19 pada Khamis. 

Menurut Dr David, ia adalah penting untuk ambil perhatian bahawa kelaziman HK.1 dan JN.1 di kawasan lain di Sarawak masih tidak menentu disebabkan keberadaan data yang terhad.

“Terutamanya, subvarian JN.1 yang pada mulanya direkodkan di Amerika Syarikat (AS) pada September tahun ini telah merebak dengan pantas dan kini merupakan satu pertiga daripada semua kes positif di AS.

“Peningkatan kebolehjangkitan dan pengelakan imun (‘immune evasiveness) JN.1 yang ditandai dengan pelbagai mutasi baharu telah menjurus kepada lonjakan kes COVID-19 di seluruh dunia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati rakyat supaya mengambil langkah berjaga-jaga yang diperlukan terutamanya semasa musim perayaan yang akan datang. -EDISI UKAS

add comment