SABTU, 20 JANUARI 2024

TATAU: Bilik Operasi Bencana di Pejabat Daerah Tatau akan diaktifkan sebagai persediaan menghadapi musim monsun timur laut yang diramal berpanjangan. 

Pegawai Daerah Tatau Jabang Juntan berkata, setiap agensi perlu sentiasa menjaga keselamatan diri sendiri bagi memastikan setiap proses dan kerja dapat dilakukan dengan baik.

“Bilik Operasi Bencana di sini akan diaktifkan sebagai persediaan menghadapi musim monsun timur laut yang dijangka berlanjutan.

“Jambatan Muput yang rosak akibat banjir telah dibaiki sementara di mana hanya kenderaan kecil sahaja boleh lalu.

“Setakat ini beberapa sekolah telah dalam keadaan berjaga-jaga seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Tau dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sangan Iban,” katanya semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tatau di sini pada Jumaat. 

Jabang menambah, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Rumah Steven Jeli telah dibuka secara rasmi pada 18 Januari lepas. 

“Seramai 55 orang mangsa daripada 27 keluarga kakitangan SK Kuala Muput yang terjejas akibat banjir telah ditempatkan di PPS Rumah Steven Jeli,” tambahnya. 

Dalam pada itu, beberapa agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut memberikan taklimat serta membentangkan persediaan-persediaan dari segi logistik dan aset.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Tatau DSP Jame Reis, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Tatau Jankey Jikat, Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Daerah Tatau Jelia Jemat, Wakil Pegawai Pendidikan Daerah Tatau Sebuah Tero Bayel, Penolong Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya Bintulu Peter Ambok dan wakil Klinik Kesihatan Tatau Dr. Gilviana Brooie. -EDISI UKAS

add comment