SABTU, 10 FEBRUARI 2024

KUCHING: Sambutan Tahun Baru Cina yang diraikan pada setiap tahun oleh masyarakat berbangsa Cina berkemungkinan diangkat menjadi salah satu acara tahunan negeri ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ia sekaligus meletakkan program itu dalam Kalendar Acara Sarawak seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak.

“Bagi saya, saya amat menyokong kerana saya dapat melihat kebaikannya memandangkan ianya diadakan buat julung kali.

“Sebelum ini, sambutan ini hanya diadakan di peringkat parti dan persatuan tetapi ini adalah pertama kali diadakan di peringkat kerajaan dan tidak salah untuk diadakan tiap tiap tahun seperti Hari Raya, Gawai dan sebagainya.

“Insyaallah benda seperti ini saya rasa untuk tahun hadapan ia akan dimasukkan dalam kalendar sekiranya ia diangkat sebagai acara tahunan,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baru Cina 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu.

Majlis tersebut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan isteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang serta dif-dif kenamaan yang lain.

Penganjuran majlis tersebut menyaksikan BCCK dibanjiri dengan masyarakat berbilang kaum seawal jam 9 pagi di mana lebih 5,000 pengunjung dianggarkan telah hadir. -EDISI UKAS

add comment