ISNIN, 4 MAC 2024

KUCHING: Sarawak termasuk dalam kadar baharu cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak lapan peratus yang dikenakan kepada penggunaan elektrik melebihi 600 kilowatt (kWJ)per jam.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kewangan Dato Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan bajet 2024 Oktober lalu mengenai kenaikan SST kepada lapan peratus melibatkan semua negeri di Malaysia.

“Perkara ini pun mengikut keputusan kita yang ada dalam Sarawak tetapi ianya memang melibatkan semua negeri di Malaysia secara menyeluruh.

“Kita akan tengok implikasinya dari sudut undang-undang dan sekiranya kita diberi pengecualian, kita tidak akan membayar cukai perkhidmatan tetapi ianya telahpun ditetapkan di seluruh negara,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis, Majlis Daerah Gedong (MDG) di sini pada Isnin.  

Pada 28 Februari lepas, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican dipetik sebagai berkata,

Lebih 80 peratus pengguna domestik yang penggunaan elektrik bulanannya sebanyak 600 kilowatt jam (kWj) dan ke bawah akan terus menikmati cukai perkhidmatan sifar bagi bil elektrik mereka.

Datuk Johan dipetik berkata hanya isi rumah domestik yang menggunakan lebih daripada 600 kWj elektrik sebulan akan terlibat dengan kenaikan cukai perkhidmatan sebanyak lapan peratus yang berkuat kuasa pada 1 Mac 2024.

Bagaimanapun keputusan pengecualian bil air dan elektrik daripada kenaikan ini masih belum dimuktamadkan sepenuhnya di peringkat Kerajaan Persekutuan. -EDISI UKAS

add comment