KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh hala tuju pembangunan sukan negeri melalui pelaksanaan Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 serta persiapan awal ke arah SUKMA XXII Selangor 2026, sebagai sebahagian daripada strategi melahirkan lebih ramai atlet pelapis dan mengekalkan kedudukan Sarawak sebagai kuasa sukan negara.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata SUKSAR yang bermula pada 2017 memainkan peranan penting sebagai medan pencarian bakat sebelum ke SUKMA.
“SUKSAR merupakan platform akar umbi yang membolehkan kita mengenal pasti atlet berpotensi dari seluruh Sarawak. Ia bukan sekadar temasya, tetapi mekanisme pembangunan bakat yang memastikan Sarawak sentiasa mempunyai barisan atlet pelapis yang bersedia untuk peringkat lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Jelasnya, SUKSAR IV 2026 akan berlangsung pada awal Februari tahun depan di Sri Aman dan Betong, melibatkan 11 jenis sukan dengan penyertaan atlet daripada empat zon iaitu Utara, Tengah, Timur dan Selatan.
“Penganjuran ini memperkukuh ‘pipeline’ pembangunan atlet, bagi memastikan kesinambungan prestasi Sarawak di pentas kebangsaan dan antarabangsa,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menjelaskan bahawa persiapan Sarawak ke SUKMA XXII Selangor 2026, yang dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026, telah dimulakan lebih awal bagi memastikan kontinjen negeri berada pada tahap optimum.
Sebanyak 37 sukan akan dipertandingkan di sembilan daerah di Selangor, dan Sarawak kini giat mempersiapkan atletnya untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan.
Katanya lagi, pendekatan berfasa dan sistematik ini selaras dengan hasrat Kerajaan Sarawak menjadikan negeri ini kuasa sukan negara serta menjamin pembangunan atlet yang lebih terancang.-EDISI UKAS