Sungai Apong Wajar Kembali Ke Arus Perdana Pembangunan
KUCHING: Kawasan Sungai Apong di sini perlu dibangunkan bagi memastikan penduduk tidak terus ketinggalan daripada menikmati kemudahan asas, tahap keselamatan serta kualiti hidup yang sepatutnya.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng berkata Sungai Apong telah berdepan cabaran pembangunan sejak hampir dua dekad lalu akibat kekangan struktur politik yang menjejaskan akses kepada sumber dan peruntukan pembangunan.
Menurut beliau, keadaan itu bukan berpunca daripada kelemahan penduduk setempat dan mereka tidak seharusnya menanggung kesan akibat kelewatan pembangunan berpanjangan.
“Pembangunan komuniti tidak wajar terhenti disebabkan faktor politik. Keperluan asas seperti infrastruktur, keselamatan dan persekitaran hidup yang selamat tidak sepatutnya ditangguhkan,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun Dewa Sembilan Maharaja di Sungai Apong, di sini, pada Ahad.
Beliau menegaskan bahawa kepadatan penduduk yang tinggi, isu keselamatan kebakaran serta pengurusan risiko awam di Sungai Apong memerlukan pendekatan menyeluruh dan bersepadu, bukannya penyelesaian bersifat sementara atau terasing.
“Isu tanah mungkin rumit, namun keselamatan dan nyawa penduduk tidak boleh dikompromi. Keselamatan awam juga tidak seharusnya dipolitikkan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar penduduk Sungai Apong terus bersatu dan bekerjasama secara konstruktif dengan kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan dalam kerangka dasar sedia ada bagi membolehkan sokongan yang lebih stabil dan berjangka panjang disalurkan.
Menurut beliau, hanya melalui kesepaduan komuniti dan kerjasama berinstitusi, pembaharuan sistematik serta penambahbaikan menyeluruh dapat dilaksanakan secara berkesan.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan pertubuhan keagamaan dan badan komuniti di Sungai Apong agar melengkapkan pendaftaran rasmi bagi memudahkan penyaluran bantuan, peruntukan serta pelaksanaan program kebajikan secara lebih tersusun dan berterusan.- EDISI UKAS