Peranan KMKK Penting Lancarkan Pentadbiran dan Pembangunan Kampung
KANOWIT: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan dengan menyampaikan dasar serta maklumat sahih kepada penduduk di bawah bidang kuasa masing-masing bagi memastikan pentadbiran kampung berjalan lancar dan tersusun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana berkata, komitmen tinggi daripada KMKK amat penting khususnya dalam bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan termasuk Pejabat Daerah bagi menyokong agenda pembangunan setempat.
“KMKK juga perlu peka dengan keperluan pembangunan di kawasan mereka supaya perancangan pembangunan di peringkat kampung dapat diselaraskan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Jaya, Teluk, Rantau Dilang, Kanowit pada Sabtu.
Dalam pada itu, Anyi turut menekankan peranan ibu bapa dalam menentukan hala tuju pendidikan anak-anak bagi mencapai kecemerlangan akademik.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak kini menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan termasuk yuran pengajian percuma di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri, bantuan pembelian komputer riba dengan kos sebanyak RM3,000 serta bantuan sara hidup sebanyak RM1,200 setahun.
"Sebagai menyokong usaha melahirkan generasi yang berilmu, Pusat Khidmat ADUN Ngemah turut menyediakan insentif akademik bagi anak-anak yang memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Insentif akademik juga turut diberikan bagi anak-anak DUN Ngemah yang melanjurkan pengajian ke peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda," tambah beliau.
Pada majlis tersebut, beliau turut meluluskan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi pembinaan baharu tanju Rumah Jaya, dengan kos akan ditentukan selepas lawatan tapak oleh agensi teknikal.
Selain itu, geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM8,000 turut diluluskan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Jaya bagi pelaksanaan aktiviti tahunan.-EDISI UKAS