TTG Bersifat Menyeluruh, Sediakan Pelbagai Perkhidmatan Untuk Gelandangan
KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWKK) mengesyorkan Tempat Transit Gelandangan (TTG) bukannya hanya tempat berteduh namun memastikan pelbagai perkhidmatan diberikan agar membolehkan mereka kembali berintegrasi dalam komuniti.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, TTG menyediakan perkhidmatan kaunseling, akses kesihatan, penyatuan keluarga dan pemadanan kerja manakala gelandangan warga emas yang tiada waris akan dihantar ke Rumah Seri Kenangan untuk penjagaan jangka panjang.
"Pendekatan yang digunakan bukan sekadar menyediakan tempat tidur, sebaliknya melangkaui keperluan asas dengan memastikan setiap peluang untuk membantu mereka berdikari dimanfaatkan sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan beliau di TTG Kuching, di sini, pada malam Rabu.
Tambahnya, gelandangan warga emas yang tiada waris, tidak pernah berkahwin serta ibu bapa telah meninggal dunia akan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan untuk penjagaan berterusan namun bebas daripada dadah dan alkohol.
Menurut Dato Sri Fatimah, pendekatan ini merupakan strategi ‘exit’ yang digunakan untuk membantu mereka keluar daripada kehidupan gelandangan dan memulakan kehidupan baharu.
"Strategi ini bersifat menyeluruh dan melibatkan kerjasama antara agensi, termasuk kementerian berkaitan, pejabat daerah dan Jabatan Kesihatan.
"Hubungan kerja yang baik antara agensi membolehkan urusan rawatan dan kebajikan gelandangan dilaksanakan dengan lebih cekap," ujarnya.
Selain itu, beliau memberitahu, salah seorang penghuni TTG juga telah dilantik sebagai Penghulu bagi membantu memaklumkan kepada rakan-rakan gelandangan yang lain mengenai kewujudan TTG sebagai tempat transit sementara yang selamat.
Pada lawatan tersebut, Dato Sri Fatimah tersebut berkesempatan melawat fasiliti berkenaan di samping menyampaikan sumbangan peribadi kepada penghuni TTG bersempena dengan Hari Krismas 2025. -EDISI UKAS