Keluarga Daif Di Kampung Sungai Maong Ditempatkan Di Flat Taman Dahlia
KUCHING: Keluarga daif yang tinggal di Kampung Sungai Maong yang tular baru-baru ini bakal ditempatkan di salah satu flat Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) di Taman Dahlia.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Dato Fazzrudin Abdul Rahman serta HDC yang sudi membantu keluarga tersebut.
"Dato Fazzrudin melalui Pusat Khidmatnya akan membayar deposit dan membayar sewa rumah selama enam bulan bermula Januari hingga Jun tahun hadapan di mana bulan seterusnya perlu disambung bayar oleh keluarga tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan beliau di TTG Kuching, di sini, pada malam Rabu.
Justeru, beliau berharap keluarga tersebut tidak mensia-siakan peluang yang diberikan terutamanya kini dengan tempat tinggal yang diberikan menyediakan tempat kondusif kepada anak-anak.
Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah turut menyeru agar seorang kanak-kanak dalam keluarga dihantar ke sekolah bermula tahun hadapan.
Jelasnya, ini memastikan kanak-kanak ini tidak terabai, selamat dan diberikan peluang pendidikan selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001.
Untuk makluman, sembilan sekeluarga termasuk enam kanak-kanak tinggal dalam keadaan amat daif di Kampung Sungai Maong selepas diusir dari Kampung Gita Laut. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Jurugambar: Muhd Hisyam Arif