Jualan Rahmah Kembali ke Sekolah Ringankan Beban Ibu Bapa B40 di Senadin
MIRI: Inisiatif Jualan Rahmah Kembali ke Sekolah yang diadakan di Jun Rong Emart Tudan berjaya membantu meringankan beban kewangan ibu bapa, khususnya golongan B40, dalam membuat persiapan menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, program jualan khas selama dua hari itu menawarkan diskaun sehingga 30 peratus bagi barangan keperluan sekolah termasuk pakaian seragam, kasut, beg dan kelengkapan berkaitan.
Menurut beliau, pemilihan Emart Tudan sebagai lokasi penganjuran adalah bersesuaian memandangkan kawasan tersebut didiami ramai keluarga berpendapatan rendah, sekali gus memudahkan akses ibu bapa dan pelajar mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih mampu milik.
“Program ini diadakan bagi membantu ibu bapa mengurangkan kos persiapan sekolah. Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan jelas menunjukkan keperluan terhadap inisiatif seumpama ini,” katanya ketika meninjau pelaksanaan jualan tersebut di sini, pada Ahad.
Beliau turut memaklumkan bahawa penganjuran Jualan Rahmah itu dilaksanakan hasil kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pihak Jun Rong Emart, yang disifatkannya sebagai rakan strategik dalam usaha membantu rakyat.
Sepanjang lawatan tersebut, Dato Sri Lee turut beramah mesra dengan beberapa keluarga yang hadir, dengan kebanyakan mereka menyatakan rasa lega dan gembira dapat menikmati penjimatan ketara dalam pembelian barangan sekolah anak-anak.
“Saya merakamkan penghargaan kepada pihak Jun Rong Emart atas kerjasama yang diberikan serta KPDN yang menyokong penganjuran jualan ini demi kebajikan rakyat,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan dua lagi Jualan Rahmah melibatkan barangan keperluan harian akan diadakan di kawasan Senadin, masing-masing pada 17 hingga 18 Januari di The Fresh Mart serta 28 hingga 29 Januari di SL Speedmart Bypass, sebagai kesinambungan usaha membantu rakyat menangani kos sara hidup.
Turut hadir ialah wakil penganjur daripada SUPP Senadin serta pengurusan Jun Rong Emart.-EDISI UKAS